BERITA SEMASA

Kekurangan petugas kesihatan di Johor Bahru kritikal – Onn Hafiz

JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyifatkan situasi kekurangan tenaga kerja kesihatan di hospital-hospital utama di negeri ini sebagai amat membimbangkan dan berada pada tahap kritikal.

Beliau berkata demikian susulan lawatan mengejut bersama Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon ke Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru yang merupakan hospital pakar kedua terbesar di negeri itu.

“Realitinya amat membimbangkan. Kekurangan tenaga kerja kesihatan melibatkan pelbagai kategori kritikal termasuk doktor pakar, pegawai perubatan, penolong pegawai perubatan, jururawat serta anggota sokongan lain.

Kekurangan petugas kesihatan di Johor Bahru kritikal - Onn Hafiz
Onn Hafiz membuat lawatan mengejut ke HSI.

“Tekanan kerja yang semakin tinggi ini bukan sahaja menjejaskan moral petugas, malah turut memberi kesan kepada kualiti rawatan yang diterima oleh pesakit,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook, hari ini.

Menurut Onn Hafiz, antara situasi yang merisaukan ialah apabila terdapat jururawat yang terpaksa mengendalikan lebih 10 hingga 14 pesakit dalam satu syif, sedangkan nisbah ideal adalah 1:6 atau maksimum 1:8.

“Keadaan ini bukan sahaja tidak adil buat petugas, tetapi juga tidak selamat untuk pesakit jika dibiarkan berlarutan,” katanya lagi.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri memandang serius isu berkenaan dan akan terus memberikan sokongan dari segi fasiliti serta keperluan kesihatan yang mendesak.

“Saya sendiri akan membawa isu ini ke perhatian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan jabatan berkaitan serta merayu agar pengisian jawatan kesihatan di Johor dapat disegerakan tanpa kompromi,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua petugas kesihatan di Johor atas usaha dan pengorbanan mereka yang menjadi tulang belakang sistem kesihatan negeri.

“Semoga petugas kesihatan di Johor terus dikurniakan kekuatan, ketabahan dan perlindungan dalam menjalankan amanah.

“Kerajaan Negeri akan terus komited memperjuangkan sistem kesihatan yang cekap, saksama dan mampan demi kepentingan seluruh rakyat dan Bangsa Johor,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button