Syarikat elektronik terjejas teruk, boleh bankrap akibat kekurangan bekalan RAM
KUALA LUMPUR – Industri elektronik global berdepan risiko gelombang penutupan operasi apabila kekurangan bekalan cip memori (RAM) dijangka berlanjutan sehingga 2030, memetik laporan Astro Awani hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Phison Electronics, Pua Khein-Seng berkata, krisis kekurangan memori dunia ketika ini semakin meruncing susulan lonjakan permintaan terhadap cip DRAM dan NAND bagi menyokong pembangunan pusat data kecerdasan buatan (AI).
Menurut beliau, situasi itu telah menyebabkan harga memori melonjak mendadak sehingga menekan kos pengeluaran pelbagai peranti elektronik seperti telefon pintar, komputer peribadi (PC) dan televisyen.
Bahkan katanya, pengeluaran telefon pintar dijangka menyusut antara 200 hingga 250 juta unit, manakala segmen PC dan TV turut mencatatkan penurunan ketara.
Menurutnya lagi, pasaran memori kini dikuasai sepenuhnya oleh pembekal, dengan ada dalam kalangan pengeluar menuntut bayaran pendahuluan kontrak sehingga tiga tahun – satu keadaan luar biasa yang belum pernah berlaku dalam sejarah industri tersebut.
Tambah Khein-Seng, walaupun harga cip memori seperti 8GB eMMC meningkat mendadak daripada AS$1.50 kepada AS$20 seunit, bekalan masih tidak mencukupi untuk menampung permintaan semasa.
Beliau memberi amaran bahawa banyak syarikat elektronik berskala kecil dan sederhana berkemungkinan tidak mampu menampung kenaikan kos serta kekangan bekalan ini, sekali gus berisiko bankrap atau terpaksa keluar daripada pasaran menjelang akhir tahun ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





