BERITA SEMASA

Tiada kompromi salah laku libatkan Pengarah AADK Negeri Sembilan

KUALA LUMPUR – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) tidak akan berkompromi dan akan tetap mengambil tindakan segera berhubung laporan terhadap Pengarah AADK Negeri Sembilan yang dimaklumkan oleh Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), hari ini.

Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh menegaskan, pihaknya tidak akan melindungi mana-mana kakitangan yang terlibat dalam salah laku atau pelanggaran integriti.

“Kami mengambil maklum mengenai laporan keputusan siasatan salah laku membabitkan pegawai AADK Negeri Sembilan yang dikeluarkan oleh EAIC melalui siaran media hari ini.

“AADK akan mengambil tindakan segera terhadap laporan ini dan tidak akan melindungi mana-mana kakitangan yang terlibat dalam salah laku dan pelanggaran integriti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ruslin turut menegaskan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana kakitangan yang didapati bersalah, mengikut peruntukan perundangan yang ada.

Beliau juga mengingatkan semua kakitangan AADK untuk menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab dan berintegriti serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan yang ditetapkan melalui Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS).

“Sebagai sebuah agensi penguat kuasa, AADK akan terus bekerjasama dengan EAIC dalam usaha memperbaiki tadbir urus yang baik dalam agensi, terutamanya dalam siasatan terhadap sebarang aduan salah laku dan pelanggaran integriti di kalangan kakitangan,” katanya lagi.

Sebelum ini, EAIC telah merujuk syor hukuman terhadap Pengarah AADK Negeri Sembilan kerana gagal memberi arahan yang tepat dan ingkar perintah berkaitan serbuan di sebuah kelab malam di negeri itu.

EAIC juga memaklumkan bahawa serbuan tersebut dilakukan pada waktu siang, walhal aduan berkaitan aktiviti jenayah diterima pada waktu malam.

Selain itu, serbuan itu dilaporkan dilakukan tanpa mendapatkan kelulusan daripada Pengarah Penguatkuasaan AADK.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button