Tarif AS: Unjuran pertumbuhan ekonomi mungkin disemak semula – BNM
KUALA LUMPUR – Malaysia mungkin terpaksa menyemak semula unjuran pertumbuhan ekonomi bagi tahun ini yang kini berada dalam julat 4.5 hingga 5.5 peratus, berikutan ketidaktentuan perdagangan global dan isu tarif eksport ke Amerika Syarikat (AS).
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, meskipun terdapat keperluan untuk semakan unjuran, kerajaan tidak akan tergesa-gesa dan akan memantau perkembangan global terlebih dahulu.
“Kita akan lihat bagaimana situasi perdagangan dunia berkembang sebelum membuat sebarang keputusan rasmi,” katanya ketika menghadiri acara anjuran Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) di Washington, semalam.
Beliau berkata, Malaysia kini berdepan kemungkinan pengenaan tarif sebanyak 24 peratus ke atas barangan eksport ke AS bermula Julai ini, sekiranya tiada persetujuan dicapai antara kedua-dua negara.
Ketika ini, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz bersama Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berada di AS bagi mengadakan rundingan dengan Wakil Perdagangan AS, Jamieson Greer serta beberapa pegawai kanan.
Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Rasheed berkata, ekonomi negara masih berada dalam kedudukan yang kukuh untuk berdepan cabaran semasa susulan pertumbuhan melebihi jangkaan sebanyak 5.1 peratus pada tahun lalu.
“Pertumbuhan disokong oleh permintaan domestik yang memberangsangkan, peningkatan aktiviti pelaburan dan pemulihan eksport,” katanya lagi.
Mengulas dasar monetari semasa, beliau menjelaskan kadar dasar semalaman (OPR) kekal pada tiga peratus dan disifatkan menyokong pertumbuhan serta mencerminkan unjuran inflasi semasa.
“Kita tidak mahu dasar monetari menjadi punca ketidaktentuan baharu. Yang paling penting ialah memastikan kestabilan harga agar pertumbuhan ekonomi dapat dikekalkan secara mampan,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








