BISNES & EKONOMI

Sektor penerbangan dan pelancongan mula tertekan, pengangkutan laut dan darat masih stabil

PUTRAJAYA – Sektor penerbangan dan pelancongan negara mula menunjukkan tanda tekanan susulan ketidaktentuan krisis global, manakala pergerakan pengangkutan laut dan darat dilaporkan masih stabil secara relatif khususnya dalam sektor pengendalian kargo dan pergerakan penumpang pengangkutan awam.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, sebanyak 55 penerbangan mingguan melibatkan enam syarikat penerbangan telah dibatalkan bagi tempoh 23 hingga 28 Mac lalu selain data ketibaan pelancong bagi tempoh 1 hingga 25 Mac turut menunjukkan penurunan.

“Ia (selari) dengan unjuran penyusutan penumpang penerbangan dari Asia Barat sebanyak 1.5 juta orang bagi tahun 2026.

“Dalam pasaran buruh pula, impak lebih nyata dijangka muncul pada suku kedua 2026 iaitu bermula Jun 2026 sekiranya konflik berlarutan,” katanya pada sesi Taklimat Krisis Tenaga Global, di sini hari ini.

ekonomi
Akmal Nasrullah pada sesi Taklimat Krisis Tenaga Global di Putrajaya hari ini.

Tambah beliau, ia menunjukkan bahawa krisis yang tercetus di Asia Barat itu mempunyai ‘lag effect’.

“Hari ini kita nampak tekanan kos, beberapa minggu atau bulan kemudian baru kita nampak tekanan terhadap pekerjaan dan pendapatan.

“Maka dengan itu, kerajaan melalui Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) sedang meneliti mitigasi sesuai untuk mengurangkan keresahan rakyat dalam isu ini,” katanya.

Dalam pada itu, Akmal Nasrullah menjelaskan, kerajaan sentiasa memantau tekanan harga, namun risiko kenaikan ke hadapan perlu diurus dari sekarang.

“Kerajaan juga ingin memaklumkan bahawa bekalan makanan asas masih stabil. Terdapat lebihan stok bagi beberapa kategori utama termasuk beras, ayam, telur, sayur-sayuran, ikan, susu dan buah-buahan.

“Pada masa yang sama, harga makanan tempatan terpilih masih menunjukkan kestabilan relatif hasil pemantauan dan langkah kawalan sedia ada.

“Maka, kerajaan memberi jaminan bahawa negara tidak berdepan gangguan bekalan makanan asas dalam jangka terdekat,” katanya.

Bagaimanapun tegasnya, kerajaan mengakui bahawa tekanan sedang meningkat pada peringkat kos pengeluaran.

“Komponen utama seperti diesel, baja dan makanan ternakan merangkumi sekitar 40 peratus input pengeluaran pertanian.

“Kerajaan mengunjurkan kenaikan makanan ternakan sekitar 8 peratus dan baja sekitar 15 hingga 20 peratus dengan 63 peratus keperluan baja diimport.

“Ini memberi isyarat bahawa tekanan kos boleh diterjemahkan kepada harga pengguna jika tidak dikawal lebih awal,” jelasnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button