BERITA SEMASASUKAN

Tang Jie–Ee Wei cipta sejarah jadi juara beregu campuran dunia sulung Malaysia

PARIS – Malaysia hari ini mencatat sejarah apabila beregu campuran negara, Chen Tang Jie–Toh Ee Wei, menghadiahkan kejuaraan sulung negara dalam acara beregu campuran di Kejohanan Badminton Dunia 2025 yang berlangsung di Adidas Arena, di sini.

Pasangan yang menghuni ranking keempat dunia itu mempamerkan aksi cemerlang dengan menundukkan beregu pilihan kedua dari China, Jiang Zhen Bang–Wei Ya Xin, menerusi kemenangan straight set 21-15, 21-14.

Pada set pertama, Tang Jie–Ee Wei jelas menguasai gelanggang tanpa banyak tentangan.

Di set kedua, Zhen Bang–Ya Xin cuba memberikan saingan lebih sengit, namun gandingan negara tetap berjaya mengekalkan rentak sebelum menamatkan perlawanan dalam masa 39 minit.

Kemenangan tersebut bukan sahaja memastikan emas sulung buat negara, tetapi turut diraikan seiring dengan Hari Kebangsaan, sekali gus menjadikannya lebih bermakna.

Related Articles

Sebagai rekod, pencapaian terbaik Malaysia dalam acara beregu campuran hanyalah di peringkat separuh akhir menerusi pasangan Koo Kien Keat–Wong Pei Tty pada edisi 2006 di Madrid, Sepanyol.

Sementara itu, beregu wanita negara, Pearly Tan–M. Thinaah, yang mencatat sejarah mara ke final Kejohanan Dunia buat kali pertama, dijadualkan menentang pasangan nombor satu dunia dari China, Liu Sheng Shu–Tan Ning, pada pukul 8.40 malam ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button