SUHAKAM cadang Penjara Taiping dijadikan muzium
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) mencadangkan supaya Penjara Taiping yang dibina sejak 1879 dijadikan muzium selepas bangunan itu didapati tidak lagi sesuai digunakan sebagai penjara.
Syor itu antara keputusan Panel Inkuiri Awam SUHAKAM berhubung rusuhan di Penjara Taiping pada 17 Januari 2025 yang menyebabkan seorang tahanan warga emas, Gan Chin Eng, 61, meninggal dunia.
Pengerusi SUHAKAM, Datuk Seri Mohd Hishamuddin Yunus berkata, panel turut mengesyorkan kerajaan membina penjara baharu di tapak lain bagi menggantikan Penjara Taiping, lapor BH Online.
Beliau berkata, penjara berkenaan yang diwartakan sebagai bangunan warisan didapati tidak lagi sesuai digunakan sebagai institusi tahanan.
“Panel berpandangan Penjara Taiping wajar dijadikan muzium atau bangunan warisan.
“Panel juga mendapati terdapat beberapa isu yang menyebabkan blok penempatan tahanan di penjara itu tidak sesuai diduduki termasuk faktor keselamatan dan kebersihan,” katanya ketika membacakan keputusan akhir inkuiri itu di pejabat SUHAKAM, di sini hari ini.
Selain Mohd Hishamuddin, panel inkuiri awam itu turut dianggotai Pesuruhjaya SUHAKAM, Datuk Mariati Robert dan Pesuruhjaya Kanak-kanak SUHAKAM, Dr Farah Nini Dusuki.
Mohd Hishamuddin berkata, panel turut mendapati Blok E yang menjadi lokasi penempatan tahanan masih belum sedia digunakan ketika proses pemindahan dilakukan.
Tambahnya, blok itu turut berdepan masalah banjir dan limpahan air longkang ketika hujan lebat sehingga menyebabkan tikus dan lipan memasuki kawasan tahanan selain mengeluarkan bau tidak menyenangkan.
Katanya, panel turut mendapati blok berkenaan tidak mematuhi piawaian keselamatan bangunan termasuk tidak menjalani pemeriksaan keselamatan dan kebakaran oleh pihak bomba.
“Keadaan itu boleh meningkatkan risiko keselamatan kepada penghuni sekiranya berlaku kebakaran. Panel Inkuiri Awam juga memutuskan keengganan TMT untuk ditempatkan di Blok E tidak boleh dianggap sebagai tindakan mencabar pihak berkuasa,” katanya.
Mohd Hishamuddin berkata, keengganan tahanan berpindah ke blok berkenaan berpunca daripada kebimbangan terhadap faktor keselamatan dan keadaan penempatan yang tidak sesuai diduduki.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








