BERITA SEMASA

Subjek Pendidikan Moral SPM akan dikaji semula

SUBANG JAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) mengarahkan semakan terhadap subjek Pendidikan Moral Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) susulan aduan mengenai tahap kesukarannya, khususnya daripada masyarakat India.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, arahan telah diberikan kepada Lembaga Peperiksaan Malaysia untuk menilai semula kandungan serta kaedah pentaksiran subjek berkenaan.

Menurut beliau, langkah itu diambil selepas mengambil kira kebimbangan ibu bapa dan komuniti yang menyuarakan isu tersebut melalui pelbagai saluran.

“Saya telah mengarahkan supaya semakan dan penambahbaikan dilakukan terhadap subjek Pendidikan Moral ini,” katanya ketika berucap pada program pendidikan di Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Castlefield, di sini hari ini.

Tambah beliau, pendekatan pendidikan masa kini menuntut kerjasama semua pihak bagi memastikan sistem sedia ada sentiasa relevan dan responsif terhadap keperluan semasa.

Dalam pada itu, wakil komuniti, Surain Kanda memaklumkan terdapat beberapa isu utama yang dibangkitkan berkaitan subjek tersebut.

Katanya, antara perkara yang menjadi perhatian ialah format peperiksaan tertutup yang tidak membenarkan pelajar membawa pulang kertas soalan, sekali gus menyukarkan proses ulang kaji.

Beliau turut menyentuh kaedah pemarkahan secara holistik yang dianggap kurang sesuai serta mencadangkan penggunaan pendekatan analitikal seperti subjek lain.

“Ambang untuk memperoleh gred A+ juga terlalu tinggi iaitu 95 markah ke atas dan ini dilihat membebankan pelajar,” katanya lagi.

Fadhlina turut berkata, kerajaan komited mengekalkan dasar tawaran automatik ke program matrikulasi kepada pelajar cemerlang yang memperoleh keputusan 10A dalam SPM tanpa mengira latar belakang.

“Dasar tersebut akan terus diperkukuh walaupun berdepan cabaran dalam pelaksanaannya.

“Ini adalah antara komitmen kerajaan untuk memastikan akses pendidikan yang lebih adil dan inklusif,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button