Suami fail cerai, 10 tahun rumah tangga musnah gara-gara ‘office wife’
KUALA LUMPUR – Seorang lelaki memfailkan perceraian selepas mendakwa isterinya berlaku curang dengan seorang doktor berstatus suami orang, meskipun sudah sedekad mendirikan rumah tangga.
Pendedahan itu tular di Facebook apabila lelaki berkenaan merakam dan memuat naik detik dirinya menerjah isterinya yang didakwa menjalinkan hubungan dengan lelaki terbabit, sekali gus menarik perhatian pengguna media sosial.
Menurut perkongsian seorang pengguna Facebook menggunakan nama Jason Wong, dia yang merupakan bapa kepada dua anak menegaskan rumah tangganya tidak pernah berdepan masalah besar, sebaliknya runtuh gara-gara istilah ‘office wife’.
“Saya tak pernah sangka orang yang saya sangat sayang, yang setiap malam tidur di sisi sanggup curang.
“Setelah 10 tahun berkahwin rumah tangga saya musnah. Sejak dia bekerja, saya yang sokong dari awal hingga akhir. Hantar kerja luar, lalui pengajian jarak jauh (PJJ) berbulan-bulan, jadi telinga semasa dia stres, siapkan kerja bila penat, malah selalu tunggu balik lewat malam.
“Saya tak pernah curiga sebab percaya. Tetapi, rupanya selama ini dia dibelai orang yang dah berumah tangga. Berstatus profesional dan dihormati masyarakat, tapi hakikatnya tak lebih daripada perosak rumah tangga orang,“ katanya di Facebook.
Perkongsian tersebut kemudiannya dipadam selepas meraih puluhan ribu perkongsian serta tanda suka termasuk emoji marah, malah rata-rata warganet meluahkan simpati terhadap nasib lelaki berkenaan.
Tambahnya, beliau pernah cuba bersabar dan memberi amaran kepada isterinya supaya tidak mengulangi kesilapan itu selepas mengetahui kecurangan tersebut buat kali pertama.
Namun, isterinya didakwa enggan berubah sehingga membuatkan lelaki itu nekad menamatkan perkahwinan dengan memfailkan perceraian.
“Saat saya dapat tahu, hanya Tuhan yang tahu betapa hancurnya hati ini sampaikan terasa hidup tak bermakna. Tapi bila pandang anak-anak, saya bangkit. Saya beri amaran dan cuba bertahan.
“Bila sekali diberi peluang pun masih tak berubah, saya nekad untuk bercerai. Tamatlah 10 tahun rumah tangga saya.
“Saya pilih untuk teruskan hidup bukan sebab kalah, tapi saya lebih sayangkan diri sendiri dan anak-anak,“ ujarnya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






