STL: Kehadiran Sarawak Hunters bukan sekadar pelengkap jadual
KUALA LUMPUR – Bukan sekadar melengkapkan penyertaan, sebaliknya pasukan Sarawak Hunters mahu membuktikan kemampuan bersaing di pentas berprestij sepak takraw apabila membuka kempen kejohanan Divisyen 1 Liga Sepak Takraw (STL) 2023 pada 19 Jun ini.
Pasukan dari Bumi Kenyalang itu yang rata-ratanya dibarisi barisan pemain muda bersedia untuk bersaing dengan pasukan Pahang Mamoth, Perlis Vipers, PDRM Defenders dan Kelantan Warriors selepas diundi dalam Kumpulan B.
Ketua Jurulatih Sarawak Hunters, Ridhuan Abd Manaf berkata, meskipun dibarisi pemain muda daripada skuad Sukma Sarawak, pasukannya tetap akan memberikan persembahan terbaik dan tidak mahu menjadi pasukan belasahan.
Malah katanya, penyertaan tekong berbakat besar, Muhd Hariz Hipni dan Muhd Fakurazi Julaini yang terpilih untuk menyertai kem pemilihan skuad sepak takraw negara baru-baru ini menjadi sandaran kepada Sarawak Hunters untuk bersaing dalam penyertaan kali keempat mereka di liga itu.
“Persiapan dan pemilihan dibuat melalui kejohanan yang dianjurkan oleh Persatuan Sepak Takraw Sarawak dan Liga Sepak Takraw Kenyalang (KSL), dari situlah bakat-bakat pemain dikenal pasti dan dipilih untuk menyertai pasukan Sarawak Hunters,” katanya kepada Malaysia Tribune.

Ridhuan berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira dua bulan bagi mempersiapkan pasukan yang berpangkalan di Kuching itu bagi menghadapi kejohanan tersebut.
“Seminggu sebelum kejohanan ini Sarawak Hunters telah berada di Semenanjung untuk sesi memanas badan dan mengadakan beberapa perlawanan ujian bersama MBSA, Johor Tigris, Melaka Titans dan Bomba Fighters.
“Hasil ujian ini, saya berasa sangat positif dan mengharapkan sesuatu yang terbaik daripada Sarawak Hunters. Kami akan cuba yang terbaik walaupun dianggap sebagai underdog,” katanya.
Dalam pada itu, ditanya mengenai undian pasukan itu bersama pasukan ternama lain, katanya, pasukan itu tidak gentar walaupun pasukan lawan membariskan pemain import dari Thailand.

“Walaupun di undi bersama pasukan ternama yang dibarisi pemain-pemain import, ia tidak akan menjadi halangan kepada kami sekiranya pemain-pemain memberikan persembahan 100 peratus di waktu perlawanan nanti.
“Dengan barisan pemain tempatan Sarawak saya berharap ia akan menjadi pemangkin semangat buat pasukan ini untuk berada di dua tangga teratas liga,” ujarnya.

| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








