BERITA SEMASA

SKIL’25 perkasa integriti TVET, lonjak peranan pengajar MADANI

KAJANG – Penganjuran Simposium Kemahiran Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) Tahun 2025 (SKIL’25) hari ini menjadi medan penting memperkasa integriti dalam kalangan tenaga pengajar pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) di seluruh negara.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim berkata, program TVET hari ini bukan sekadar laluan pendidikan tetapi medan pembentukan insan.

“Pengajar yang berintegriti bukan sahaja menyampaikan kemahiran teknikal, malah membentuk sahsiah pelajar dari aspek kepimpinan dan tanggungjawab sosial.

“Kita tidak mahu hanya melahirkan tenaga kerja yang cekap, tetapi juga berprinsip, beretika serta mempunyai nilai kemanusiaan yang tinggi,” katanya ketika merasmikan SKIL’25 bertemakan “TVET Berintegriti Menjulang Nilai MADANI,” di Dewan Seri Cempaka, Majlis Perbandaran Kajang @ Saujana Impian di sini hari ini.

YB Adam Adli ketika menyampaikan ucapan perasmian dalam Simposium Kemahiran Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) di Kajang pada pagi ini
Adam Adli ketika menyampaikan ucapan perasmian dalam Simposium Kemahiran Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) di Kajang pada pagi ini

Program anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu menghimpunkan lebih 500 tenaga pengajar dari Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) serta institusi TVET lain.

Menurutnya, SKIL’25 menjadi wadah perkongsian ilmu antara tenaga pengajar dan berperanan sebagai platform membina keupayaan pengajar yang progresif dan diyakini masyarakat, seiring aspirasi Model Pembangunan Belia Madani 2030 (MPBM2030).

Adam berkata, usaha memperkukuh nilai-nilai MADANI seperti daya cipta dan keyakinan turut menjadi asas untuk mempertingkat kepercayaan terhadap sistem TVET sebagai pemacu pembangunan modal insan negara.

Sempena penganjuran simposium itu, KBS turut memberi pengiktirafan kepada tiga pengajar ILKBS yang menunjukkan kecemerlangan luar biasa dalam bidang masing-masing.

Penerima Anugerah i-Excellent Trainer Encik Mohd Fauzi Bin Akhir Zarman Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Dusun Tua
Penerima Anugerah i-Excellent Trainer
Encik Mohd Fauzi Bin Akhir Zarman
Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Dusun Tua

Mohd Fauzi Akhir Zarman dari Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Dusun Tua menerima Anugerah i-Excellent Trainer atas sumbangan selama 17 tahun dalam bidang TVET.

Beliau merupakan pakar rujuk kebangsaan dalam bidang elektrik, dan berjaya membimbing pelatih negara meraih pingat emas di WorldSkills ASEAN 2023 di Singapura serta pingat perak di WorldSkills Asia 2023 di Abu Dhabi.

Roslan Ahmad dari IKBN Naka pula dianugerahkan Anugerah i-Inspire Trainer 2025 atas usaha luar biasa membangunkan sahsiah dan kepimpinan belia.

Beliau aktif dalam Program Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM), mengetuai misi bantuan pasca banjir di Kemaman dan Yong Peng serta pernah menerima tiga Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Pingat Jasa Kebaktian (PJK).

Penerima Anugerah i-Innovation Trainer 2025 Ts. Dr. Thinakaran A/L Narayanan Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Sepang
Penerima Anugerah i-Innovation Trainer 2025
Ts. Dr. Thinakaran A/L Narayanan
Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Sepang

Sementara itu, Anugerah i-Innovation Trainer 2025 disampaikan kepada Ts. Dr. Thinakaran Narayanan dari IKTBN Sepang yang berjaya menghasilkan inovasi seperti projek X-PLASTIC dan METRE yang meraih pingat emas di iCompEx 2024.

Selain itu, projek Mini Extruder Pultrusion Machine hasil ciptaannya turut memenangi anugerah utama dalam Engineering, Science & Technology Exhibition 2024.

Beliau turut memperoleh geran penyelidikan melebihi RM45,000 dan beberapa inovasi beliau kini didaftarkan sebagai hak cipta.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button