
Silibus pembelajaran sedia ada diteruskan
ALOR SETAR – Silibus pembelajaran sedia ada termasuk bagi mata pelajaran sejarah akan terus digunakan sehingga kitaran semakan yang seterusnya.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, setiap silibus digunakan untuk pelajar dalam negara mengikut kitaran tempoh ditetapkan.
Kata beliau, kesemua silibus kurikulum terbabit juga dipantau oleh pakar-pakar bidang berkaitan.
“(Silibus) murid-murid ada kitaran (masa pelaksanaannya). Jadi, setakat ini kita kekal dengan (silibus) sedia ada sehinggalah kitaran itu habis.
“(Kemudian) kita akan lihat dari segi keperluan untuk semua (penambahbaikan) dan ia bukan sejarah sahaja tetapi untuk semua subjek sekali,”katanya.
Fadhlina berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan pihak tertentu supaya silibus sejarah tentang Kedah dan Pulau Pinang dalam buku teks perlu dibuat penambahbaikan.
Beliau menjelaskan, isu penambahbaikan silibus pembelajaran tidak tertumpu pada mata pelajaran sejarah semata-mata, sebaliknya mengambil kira semua aspek.
Terdahulu, Fadhlina melakukan kunjungan ke Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Keat Hwa di Jalan Kuala Kedah, di sini hari ini.
Dalam kunjungan tersebut, Fadhlina turut meluluskan peruntukan sebanyak RM150,000 untuk kerja membaik pulih kerosakan jalan dan menyelenggara kemudahan di sekolah tersebut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







