BERITA SEMASA

Sijil pelajar SMK Senawang tidak ditahan, hanya tangguh sementara

SEREMBAN – Isu tular di media sosial membabitkan seorang pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Senawang yang didakwa ditahan sijil kerana tunggakan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) disahkan berpunca daripada salah faham.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, semakan mendapati sijil pelajar berkenaan tidak ditahan, sebaliknya hanya ditangguhkan sementara bagi tujuan penyelarasan sebelum diserahkan semula.

“Semakan yang dibuat mendapati sijil tersebut tidak ditahan, sebaliknya hanya ditangguhkan sementara,” katanya.

Menurut beliau, hasil perbincangan bersama pengetua sekolah, Cikgu Zainal Abidin serta Yang Dipertua PIBG, Marzuki, mendapati isu berkenaan berpunca daripada salah faham susulan Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar yang baru-baru ini diadakan.

Tambahnya, pelajar terbabit tidak pernah dipinggirkan daripada program kecemerlangan akademik dan mempunyai rekod prestasi yang baik.

“Tidak ada sekolah yang sanggup melihat anak muridnya gagal. Tiada faedah untuk pihak sekolah menyekat sijil pelajar,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak menularkan isu berkenaan dan sebaliknya membiarkan ia diselesaikan secara dalaman antara ibu bapa dan pihak sekolah.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan pencapaian SMK Senawang dalam SPM 2025 meningkat apabila 14 pelajar memperoleh semua A berbanding dua pada tahun sebelumnya, selain tahap disiplin pelajar yang semakin baik.

Beliau berharap isu tersebut dapat diselesaikan secara harmoni demi kepentingan pelajar.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button