Siasatan dakwaan gangguan seksual babit pengarah hospital di Sabah selesai, tindakan susulan sedang dilaksana
KOTA KINABALU – Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mengesahkan siasatan terhadap dakwaan salah laku melibatkan serangan seksual dan buli di tempat kerja yang membabitkan seorang pengarah hospital di negeri ini telah selesai, dengan tindakan susulan kini sedang dilaksanakan.
JKNS dalam satu kenyataan memaklumkan, siasatan terperinci telah dijalankan oleh jawatankuasa khas yang dilantik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi meneliti dakwaan berkenaan.
Menurut kenyataan itu, hasil siasatan telah diperoleh dan syor tindakan susulan sedang dilaksanakan mengikut prosedur serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Hasil siasatan telah diperoleh dan syor tindakan susulan sedang dilaksanakan mengikut prosedur serta perundangan semasa yang berkuat kuasa,” menurut kenyataan itu.
JKNS turut menegaskan pendirian bahawa pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku, khususnya melibatkan serangan seksual, gangguan dan buli di tempat kerja kerana ia bercanggah dengan nilai integriti serta etika perkhidmatan awam.
Pada Rabu lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayan, Chin Tek Ming menggesa dakwaan gangguan seksual dan buli membabitkan kakitangan sebuah hospital di Kota Kinabalu disiasat secara menyeluruh serta diberikan perhatian segera oleh pihak berkuasa.
Sementara itu, semalam, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun memaklumkan polis telah menerima laporan berhubung dakwaan berkenaan pada Januari lalu dan siasatan telah dijalankan sebelum isu itu tular di media sosial.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















