BERITA SEMASA

Shamsul Ghau Ghau selamat dibedah, kini stabil – Ustaz Taufik

KUALA LUMPUR – Pelawak dan pendakwah terkenal, Shamsul Ghau Ghau dilaporkan selamat menjalani pembedahan membuang darah beku di bahagian otak dan kini berada di bawah pemantauan rapi pasukan perubatan di Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), Serdang.

Perkembangan itu dikongsikan oleh sahabatnya, Ustaz Muhammad Taufik Khalil menerusi satu hantaran di media sosial yang memaklumkan bahawa pembedahan berkenaan selesai dijalankan pada malam sebelumnya.

Menurut Ustaz Taufik, keadaan Shamsul atau lebih mesra dikenali sebagai Pak Su kini stabil namun masih memerlukan pemantauan rapi pihak doktor.

Ustaz Taufik
Salah satu gambar bersama Shamsul yang dikongsi Ustaz Taufik ketika berada di Tanah Suci.

Dalam perkongsian sama, beliau turut mendedahkan sisi peribadi sahabatnya itu yang jarang diketahui umum, termasuk peranan aktifnya dalam kerja-kerja dakwah dan kebajikan.

“Selama ini orang hanya melihat Pak Su sebagai insan yang menceriakan orang lain, namun hakikatnya beliau seorang yang sangat baik, rendah hati dan menjaga adab dengan semua lapisan masyarakat.

“Dalam diam, beliau banyak berkhidmat dalam dakwah tabligh serta membimbing jemaah umrah dan haji,” katanya.

Ustaz Taufik yang telah bersahabat dengan Shamsul atau nama sebenarnya Shamsul Azahar Aliddin lebih 20 tahun turut mengakui amat tersentuh dengan ujian yang menimpa sahabatnya itu, selain menzahirkan rasa sebak selepas melihat sendiri keadaannya di hospital.

Di akhir perkongsian, beliau menitipkan doa agar Shamsul segera sembuh dan dipermudahkan segala urusan rawatannya.

Sebelum ini, perkembangan kesihatan Shamsul turut dikongsikan oleh rakan artis, Sheila Mambo yang memaklumkan mengenai pembedahan tersebut selepas menerima berita daripada isteri Shamsul sendiri.

Difahamkan, isteri Shamsul, Sharifah Azrinah Syed Ibrahim sebelum ini meluahkan kebimbangan apabila kos pembedahan dianggarkan mencecah kira-kira RM25,000.

Bagaimanapun, beliau tersentuh apabila ramai sahabat dan insan prihatin tampil menghulurkan sumbangan bagi membantu meringankan beban keluarga tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button