HIBURAN

Shamsul Ghau Ghau mula jalani fisioterapi, isteri hargai doa, sokongan ramai

KUALA LUMPUR – Keadaan kesihatan pelakon veteran, Shamsul Ghau Ghau terus menunjukkan perkembangan positif apabila beliau kini sudah mula menjalani fisioterapi selepas selamat menjalani pembedahan membuang darah beku di Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), Serdang pada Sabtu lalu.

Isterinya, Sharifah Azrinah Syed Ibrahim berkata, hampir semua wayar serta peralatan perubatan yang sebelum ini dipasang pada tubuh Shamsul telah ditanggalkan selain suaminya kini mula menggerakkan anggota badan secara berperingkat dengan bantuan.

“Alhamdulillah, perkembangan suami sangat positif dan memberangsangkan. Saya rasa sangat lega.

“Doktor juga beritahu keputusan ujian Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) di bahagian otak kiri yang dibuat Ahad lalu menunjukkan keputusan yang baik.

“Wayar-wayar di badannya sudah dicabut dan hari ini dia sudah mula menjalani fisioterapi serta boleh menggerakkan tangan dan kakinya dengan bantuan,” katanya memetik laporan BH Online.

Mengulas perkembangan kognitif suaminya, beliau berkata Shamsul kini mampu menjawab soalan dengan baik walaupun ada kalanya memerlukan sedikit masa untuk memahami pertanyaan yang diajukan.

“Suami sudah boleh bercakap dengan jelas, cuma responnya kadang-kadang sedikit perlahan dan ada kalanya nampak keliru.

“Apabila doktor bertanya mengenai dirinya dan orang sekeliling, Alhamdulillah dia dapat menjawab semua soalan dengan betul. Saya sangat bersyukur melihat perkembangan,” katanya lagi.

Shamsul dan isteri
Shamsul bersama isterinya, Sharifah Azrinah.

Tambahnya, Shamsul juga sudah mampu duduk di atas atau di tepi katil, namun masih belum cukup kuat untuk berjalan tanpa bantuan.

Sharifah Azrinah berkata, tempoh rawatan di hospital masih bergantung kepada perkembangan semasa.

“Doktor maklumkan buat masa ini, kemungkinan suami perlu dirawat di hospital sekitar tiga hingga empat hari lagi, bergantung kepada perkembangan hariannya,” ujarnya.

Mengulas emosi suaminya, Sharifah Azrinah berkata Shamsul lebih banyak berdiam diri dan memikirkan komitmen penggambaran yang sedang dijalani.

“Dia risau tentang penggambaran. Saya beritahu semuanya sudah diuruskan dan pihak produksi memahami keadaannya.

“Apabila saya yakinkan dia, dia hanya diam, termenung dan air matanya mengalir. Dia angguk faham. Saya minta dia kekal kuat dan positif supaya cepat sembuh,” katanya.

Dalam pada itu, Sharifah Azrinah turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang mendoakan dan memberikan sokongan kepada keluarganya.

“Peminat, rakan artis, kawan-kawan dekat dan jauh termasuk yang kami tidak kenal, semuanya memberi sokongan dan doa.

“Itu semua sangat membantu kami sekeluarga. Hanya Allah mampu membalas segala kebaikan mereka,” katanya.

Sheila Mambo
Sheila antara rakan artis yang banyak membantu urusan rawatan Shamsul sejak awal kejadian.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pelakon, Sheila Mambo yang banyak membantu sejak awal kejadian berlaku.

Sementara itu, Sheila menjelaskan usaha menggerakkan kutipan sumbangan dilakukan secara bersama rakan artis lain dan atas izin Allah.

“Ini bukan usaha saya seorang. Ramai rakan artis seperti Ebby Yus, Ellie Suriaty dan yang lain turut membantu. Ada yang sebarkan maklumat, ada yang hubungi pihak berkaitan termasuk zakat.

“Apabila dilakukan dengan cara yang betul, semuanya bergerak dengan cepat. Ini urusan Allah, kita hanya perantara,” katanya.

Sheila turut menyifatkan Shamsul sebagai seorang yang baik hati dan disenangi ramai.

“Pak Su (panggilan untuk Shamsul) orang baik. Bila kita mudahkan urusan orang, Allah mudahkan urusan kita. Ini bukti kuasa Allah dan kebaikan,” katanya.

Sebelum ini, Shamsul Ghau Ghau dilaporkan mengalami pendarahan beku dalam otak dan selamat menjalani pembedahan di HSAAS.

Difahamkan kos pembedahan dianggarkan sekitar RM25,000 dengan pelbagai pihak tampil memberikan sumbangan bagi membantu Shamsul.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button