JENAYAH & MAHKAMAH

Penyerang Balai Polis Ulu Tiram disyaki anggota JI – KPN

JOHOR BAHRU – Suspek yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram di sini awal pagi tadi, disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan militan Jemaah Islamiyah (JI).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan awal mendapati suspek yang terbunuh dalam kejadian ini, merupakan anak kepada seorang lelaki yang sudah dikenal pasti sebagai anggota kumpulan tersebut.

Tambahnya, suspek,34, yang tidak mempunyai rekod jenayah turut didapati melakukan persediaan rapi sebelum melakukan serangan.

“Kita dapati, suspek buat persediaan awal berdasarkan beg yang digunakan sebagai perisai, yang diisikan dengan kepingan zink, akhbar dan kain, sebagai persediaan bertempur.

“Mungkin dia datang ke balai, untuk merampas senjata api untuk kegunaan yang tidak diketahui lagi,” katanya lagi.

Razarudin berkata demikian dalam satu sidang akhbar di lokasi kejadian, hari ini.

Beliau  turut mengesahkan, pihaknya sudah menahan tujuh individu bagi membantu siasatan.

Dua daripada yang ditahan difahamkan berada di balai tersebut ketika kejadian, bagi mendapatkan pendapat mengenai satu kes cabul yang berlaku dua tahun lalu.

“Lima lagi individu berusia antara 15 hingga 62 tahun, ditahan di kediaman suspek,” katanya lagi.

Dalam kejadian awal pagi tadi, dua anggota polis terbunuh manakala seorang lagi tercedera akibat ditetak dan ditembak.

Suspek kejadian turut terbunuh selepas berbalas tembakan dengan anggota polis lain.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button