BERITA SEMASAINISIATIF KERAJAAN

Sekolah Angkat MADANI: KBS perkukuh kemudahan pendidikan SJK(T) Ladang Chembong

KUALA LUMPUR – Usaha memperkukuh kemudahan pendidikan terus dipertingkat apabila Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Chembong di Rembau menerima pelbagai manfaat melalui Program Sekolah Angkat MADANI yang dilaksanakan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Dalam satu kenyataan, KBS memaklumkan,
Program Sekolah Angkat MADANI digerakkan sebagai langkah proaktif memperkasakan kemudahan pendidikan di bawah aspirasi Malaysia MADANI yang berteraskan enam nilai utama iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.

“Melalui program itu, pelbagai usaha naik taraf dirangka khusus untuk SJK(T) Ladang Chembong, merangkumi projek fizikal seperti menaik taraf dan memulihara Pusat Sumber Sekolah (PSS).

“Bagi program bukan fizikal melibatkan majlis peluncuran serta aktiviti sosial belia dan sukan oleh agensi-agensi berkaitan,” menurut kenyataan itu.

Turut terlibat sama, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Pejabat Pendidikan Daerah Rembau, Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara Chembong dan Majlis Belia Daerah Rembau.

KBS menjelaskan, program berkenaan memainkan peranan penting dalam menggalakkan kesinambungan aktiviti berteraskan sukan, pendidikan, sukarelawan dan gaya hidup aktif dalam kalangan masyarakat Ladang Chembong.

“Pelaksanaannya juga menyokong matlamat memperkasa komuniti sekolah melalui pembangunan yang relevan, mampan dan selaras nilai MADANI,” katanya.

Selain itu, program tersebut mewujudkan kerjasama erat antara agensi kerajaan dan institusi pendidikan dalam memperkukuh sahsiah murid serta menjadikan sekolah berkenaan hab komuniti pendidikan luar bandar.

“KBS komited meningkatkan kualiti hidup dan pendidikan selaras dengan agenda MADANI negara yang mengutamakan pembangunan holistik serta kesejahteraan rakyat,” menurut kenyataan itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button