LUAR NEGARA

Salahguna perisian awan, pengarah subsidiari Microsoft Israel diarah ‘meletak jawatan’

LONDON – Pengarah subsidiari Microsoft di Israel diarah ‘meletak jawatan’ susulan siasatan dalaman mengenai penglibatan firma tersebut dengan tentera Israel.

Difahamkan, Microsoft mengarahkan siasatan itu tahun lalu sebagai tindak balas terhadap laporan penyiasatan The Guardian yang mendedahkan tentera Israel menggunakan teknologi syarikat itu untuk mengendalikan sistem pengawasan berkuasa tinggi yang merekod panggilan telefon orang awam Palestin secara besar-besaran.

Penyiasatan bersama dengan penerbitan Israel-Palestin +972 Magazine dan portal berbahasa Ibrani, Local Call mendapati, unit perisikan elit tentera Israel, Unit 8200, menggunakan platform awan Azure milik Microsoft untuk menyimpan sejumlah besar panggilan yang dipintas dari Gaza dan Tebing Barat.

Siasatan Microsoft itu difahamkan baru sahaja selesai.

Walaupun dapatan akhir tidak didedahkan, namun sumber yang arif dengan proses tersebut berkata, ia membawa kepada pengumuman minggu lalu bahawa pengurus besar Microsoft Israel, Alon Haimovich, akan meninggalkan syarikat tersebut.

Akhbar perniagaan Israel, Globes dalam laporannya Isnin lepas berkata, pemergian Haimovich berlaku susulan pelanggaran kod etika Microsoft.

Laporan itu turut menyebut beberapa pengurus lain juga meninggalkan jawatan mereka.

Dalam tempoh beberapa minggu selepas melancarkan siasatan, dapatan awal Microsoft menunjukkan, Unit 8200 melanggar syarat perkhidmatannya yang melarang penggunaan teknologi syarikat untuk memudahkan pengawasan besar-besaran.

Akibatnya, syarikat itu menamatkan akses unit tersebut kepada perkhidmatan awan dan produk kecerdasan buatan (AI) yang digunakan bagi menyokong projek pengawasan itu.

Dengan kapasiti penyimpanan hampir tanpa had dan kuasa pengkomputeran Azure, Unit 8200 membina sistem tanpa diskriminasi yang membolehkan pegawai perisikannya mengumpul, memainkan semula dan menganalisis kandungan jutaan panggilan telefon selular rakyat Palestin setiap hari.

Dokumen yang dilihat oleh The Guardian menunjukkan, Haimovich memainkan peranan dalam membangunkan hubungan antara Microsoft Israel dan Unit 8200 susulan pertemuan pada 2021 antara ketua pegawai eksekutif Microsoft, Satya Nadella, dan komander Unit 8200 ketika itu.

Ini termasuk menyelia kerjasama dengan agensi perisikan tersebut untuk membina ruang berasingan dalam Azure bagi menyimpan bahan risikan sensitif.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button