BERITA SEMASA

Rundingan pemberian khas antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan negeri Sabah 19 Dis ini

KUALA LUMPUR – Sesi rundingan seterusnya antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah berkenaan pemberian khas dijadual diadakan pada 19 Dis ini.

Menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Persekutuan menyatakan komitmen untuk melaksanakan perbincangan secara progresif bagi memastikan proses rundingan berjalan dengan teratur,lapor BERNAMA.

“Hasil rundingan pada 17 Nov lalu, satu Jawatankuasa Rundingan Pemberian Khas Peringkat Pegawai di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah ditubuhkan.

“Selain itu, turut dibincangkan adalah terma rujukan yang digunakan sebagai panduan semasa rundingan dilaksanakan kelak,” katanya ketika menggulung sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 di Dewan Negara, hari ini.

Amir Hamzah berkata, Kerajaan Persekutuan melalui platform Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) komited merundingkan kadar pemberian khas yang lebih baik termasuk meningkatkan amaun pemberian khas kepada Sabah.

“Pada 2023, Kerajaan Persekutuan menaikkan amaun pemberian khas Sabah kepada RM300 juta. Mulai 2025, kerajaan bersetuju menaikkan amaun pemberian khas hampir sekali ganda lagi kepada RM600 juta.

“Pembayaran ini adalah secara interim, sementara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah sedang merumuskan kaedah baharu yang menentukan pemberian khas masa hadapan,” kata beliau.

Menurut Amir Hamzah, Kerajaan Persekutuan sentiasa prihatin dengan keperluan peruntukan di Sabah, dengan peruntukan mengurus dan pembangunan terus meningkat daripada RM14 bilion pada 2023 kepada RM17 bilion pada 2026.

Katanya, peruntukan ini disalurkan bagi melaksanakan pembangunan strategik seperti Lebuhraya Pan Borneo Sabah, bekalan air luar bandar, bekalan elektrik luar bandar, jalan perhubungan desa, jalan luar bandar dan kemudahan ameniti sosial.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button