BERITA SEMASA

Rukun Negara asas perpaduan negara – KM Melaka

BANDA HILIR – Rakyat berbilang kaum diminta terus menjunjung tinggi prinsip Rukun Negara sebagai asas panduan yang memperkukuh semangat kebangsaan, kata Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Menurut beliau, Rukun Negara adalah tiang seri yang wajib disanjung dan dihayati agar Malaysia mampu melangkah maju dengan jati diri yang kukuh.

“Kepada 1.05 juta rakyat Melaka, mari kita bersama menjadikan perpaduan sebagai senjata utama penyatuan kaum demi kelangsungan negeri dan negara.

“Meskipun kadang-kala wujud suara sumbang serta percanggahan pandangan, masyarakat perlu matang, berlapang dada dan sentiasa mencari titik persamaan di samping meraikan perbezaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Ambang Merdeka Sempena Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Melaka 2025 di Persiaran Jalan Merdeka, Banda Hilir, malam tadi.

Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Ab Rauf berkata, semangat patriotisme yang dizahirkan pada malam Ambang Merdeka akan menjadi pendorong kepada kepimpinan negeri untuk mempergiat pembangunan merentas sektor, merancakkan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Kerajaan negeri tidak akan berganjak daripada iltizam memperjuangkan kebajikan rakyat, melindungi kepentingan negeri serta mengangkat Melaka ke tahap lebih tinggi,” katanya.

Sambutan itu dihadiri lebih 20,000 pengunjung termasuk pelancong dari dalam dan luar negara yang bermula seawal pukul 8 malam.

Sementara itu, sebanyak 68 motosikal berkuasa tinggi yang menyertai Kembara Aku Kasih Malaysia (KAKM) 2025 diberi penghormatan untuk mengiringi ketibaan Ketua Menteri ke Dataran Pahlawan Melaka.

Konvoi yang bermula dari Putrajaya pada Khamis lalu tiba di Melaka malam tadi selepas merentasi Perak, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Pahang melibatkan jarak 626 kilometer.

Pada hari ketiga semalam, konvoi yang berlepas dari Kuala Terengganu, singgah di Kuantan sebelum menamatkan perjalanan di Dataran Pahlawan.

Program turut disertai peserta dari Singapura dengan misi mendaftarkan sejuta sokongan menerusi imbasan kod QR di setiap hentian Petronas sepanjang laluan.

KAKM 2025 yang dianjurkan Akademi Kenegaraan Malaysia bersama Fast Bike Club diketuai pengerusinya, Fadzlaini Ibrahim.

Program itu akan melabuhkan tirai pada hari ini di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) selepas menjelajah sembilan negeri sepanjang empat hari perjalanan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button