POLITIK

Ronald Kiandee, Mas Ermieyati terima surat tunjuk sebab

CYBERJAYA – Naib Presiden BERSATU, Datuk Seri Ronald Kiandee dan Ketua Wanita, Datuk Seri Mas Ermieyati Samsudin dilaporkan menerima surat tunjuk sebab daripada Lembaga Disiplin parti bagi menjawab beberapa tuduhan.

Menurut Ronald, beliau menerima surat berkenaan 28 Feb lalu dan tempohnya berakhir hari ini, lapor SH Online.

“Sama ada saya jawab atau tidak, saya pasti tindakan akan tetap diambil dan saya percaya ia bertujuan menyingkirkan kami daripada menyokong Datuk Seri Hamzah Zainudin,” katanya ketika hadir pada Majlis Moreh Perdana dan Pelancaran Gempur Rasuah Negeri Sembilan di Port Dickson, malam tadi.

Beliau yang juga Ketua Whip BERSATU berkata, surat tunjuk sebab tersebut diberikan kepadanya adalah kerana tindakan beliau menghantar surat kepada Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan bagi memaklumkan sokongan 13 Ahli Parlimen Bersatu kepada Hamzah sebagai ketua pembangkang di Parlimen.

Sementara itu, Mas Ermieyati berkata, tempoh terakhir untuk menjawab surat tunjuk sebab itu hari ini.

“Setakat ini saya tidak berhajat untuk menjawabnya. Kita tengoklah macam mana nanti,” kata Ahli Parlimen Masjid Tanah berkenaan.

Sebagai rekod, Ronald dan Mas Ermieyati juga merupakan antara pemimpin BERSATU yang hadir majlis perhimpunan menyokong Hamzah 14 Feb lalu, sehari selepas beliau dipecat daripada BERSATU.

Pada 19 Feb lalu, Mas Ermieyati mengesahkan beliau melepaskan jawatan ketua bahagian BERSATU Masjid Tanah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button