BERITA SEMASADALAM NEGERI

Roblox, UMI mungkin diharamkan – Nancy Shukri

KUCHING – Aplikasi permainan dalam talian popular Roblox dan UMI kini dalam perhatian kerajaan susulan kebimbangan terhadap pengaruh kandungannya yang dikatakan boleh memberi kesan negatif kepada golongan muda.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kerajaan masih meneliti kemungkinan untuk mengharamkan kedua-dua aplikasi itu dan akan menunggu hasil pelaksanaan dasar baharu yang sedang dirancang oleh Australia sebelum membuat keputusan muktamad.

“Kita masih menunggu dan melihat bagaimana Australia melaksanakan peraturan itu. Mereka sedang merancang, tetapi belum dilaksanakan.

“Malaysia akan menilai sama ada pendekatan itu sesuai dengan keadaan dan budaya tempatan,” katanya selepas menghadiri Program Latih Amal dan Simulasi Pengurusan Pusat Pemindahan Sementara (PPS), hari ini.

Langkah itu susulan kebimbangan awam selepas tercetusnya kejadian menyayat hati di Kampung Parit Nipah, Parit Raja, Batu Pahat, Isnin lalu, apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun cedera parah dipercayai akibat dikelar oleh abangnya berusia sembilan tahun.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad sebelum ini mendedahkan, siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada pertengkaran selepas permainan Roblox yang dimainkan suspek terganggu dan semua ‘point’ yang dikumpul hilang.

Dalam perkembangan berkaitan, Australia kini meneliti sekatan penggunaan Roblox terhadap pengguna berusia bawah 16 tahun, susulan kebimbangan terhadap kandungan platform berkenaan yang dikaitkan dengan beberapa insiden antarabangsa.

Menurut Nancy, Malaysia akan menilai keberkesanan langkah itu sebelum membuat keputusan sama ada untuk mengikuti pendekatan sama.

“Memang benar, perkembangan teknologi seperti ini ada pengaruhnya terhadap kes-kes yang berlaku. Sebab itu kita perlu berhati-hati dan belajar daripada negara lain sebelum membuat keputusan,” ujarnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button