BERITA SEMASALUAR NEGARA

Iraq haramkan Roblox atas dakwaan kandungan eksploitasi kanak-kanak

BAGHDAD – Kerajaan Iraq mengumumkan larangan ke atas platform permainan dalam talian popular Roblox atas dakwaan permainan tersebut mengandungi unsur lucah, penghinaan agama dan berisiko mendedahkan kanak-kanak kepada ugutan serta eksploitasi dalam talian.

Menurut kenyataan Kementerian Komunikasi Iraq, keputusan itu dibuat bagi melindungi ketenteraman sosial, memelihara nilai moral dan menjamin keselamatan pengguna internet di Iraq.

Larangan tersebut dilaksanakan berdasarkan keputusan Mahkamah Agung Iraq yang menyokong langkah kementerian berkenaan.

“Permainan Roblox didapati mengandungi kandungan berunsur seksual, bahasa kesat, penghinaan serta membolehkan komunikasi terus antara pengguna yang boleh mengundang cubaan eksploitasi atau ugutan terhadap golongan muda,” jelas kenyataan itu.

Kementerian turut menegaskan bahawa beberapa kandungan dalam platform berkenaan bertentangan dengan norma sosial dan nilai budaya masyarakat Iraq.

Roblox, platform permainan yang berpangkalan di California, membolehkan pengguna membina dan berkongsi permainan ciptaan sendiri.

Namun ia telah beberapa kali dikritik kerana gagal melindungi pengguna muda daripada gangguan dan eksploitasi dalam talian.

Bulan lalu, Australia melalui badan pemantau dalam talian negara itu memaklumkan bahawa Roblox telah bersetuju memperketat kawalan keselamatan bagi mengurangkan risiko golongan dewasa berinteraksi dengan kanak-kanak di platform tersebut.

Langkah itu termasuk menyahaktifkan fungsi sembang langsung (direct chat) bagi pengguna di bawah umur kecuali mereka yang telah mengesahkan umur sebenar serta menyekat komunikasi antara pengguna dewasa dan kanak-kanak bawah 16 tahun.

Roblox kini mempunyai lebih 100 juta pengguna aktif setiap hari dengan kira-kira 40 peratus daripadanya berumur bawah 13 tahun menurut data syarikat pada tahun 2024.

Pakar keselamatan siber dan pertubuhan kebajikan kanak-kanak sebelum ini turut memberi amaran bahawa platform permainan sosial seperti Roblox boleh menjadi medium eksploitasi jika tidak dikawal dengan ketat.

Langkah tegas kerajaan Iraq itu mencerminkan kebimbangan global terhadap keselamatan kanak-kanak di dunia digital khususnya apabila permainan dalam talian kini menjadi antara medium sosial utama bagi generasi muda.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button