BERITA SEMASA

RIUH Pi HAWANA 2026 meriahkan sambutan hari wartawan nasional di Pulau Pinang

PULAU PINANG – Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 di Pulau Pinang dimeriahkan dengan penganjuran edisi khas RIUH Pi HAWANA, sebuah acara kreatif yang menghimpunkan penggiat seni dan pengamal media tempatan.

Program ini berlangsung selama tiga hari, dari 19 hingga 21 Jun 2026 di Tapak Letak Kereta PICCA, Pulau Pinang.

Menurut kenyataan daripada Kumpulan MyCreative Ventures, edisi kali ini disasarkan menarik lebih 30,000 pengunjung dengan penglibatan 24 jenama tempatan serta vendor makanan dan minuman (F&B).

Kehadiran pengusaha ini menawarkan pelbagai produk kreatif dan sajian tempatan sebagai sebahagian daripada usaha mengetengahkan bakat serta budaya setempat.

“Sepanjang acara berlangsung, pengunjung berpeluang menyertai lapan (8) bengkel kreatif seperti bengkel pembuatan zine atau buku kecil, manik Nyonya, lakaran dan seni cetakan.

“Selain itu, tujuh (7) agensi kerajaan turut mengambil bahagian menerusi pelbagai aktiviti dan pameran interaktif, di samping mempromosikan perkhidmatan serta inisiatif Kerajaan MADANI secara langsung kepada masyarakat,” menurut kenyataan itu.

Pentas RIUH Pi HAWANA akan turut diserikan dengan 18 persembahan muzik secara langsung yang menampilkan barisan artis ternama serta bakat tempatan, termasuk Exists, Bunkface, Masdo, Sakura Band, Fugo, Budak Nakal Hujung Simpang, dan Chelsia Ng.

Konsert pembukaan akan berlangsung pada 19 Jun 2026 dari pukul 8 malam hingga 12 tengah malam, manakala pada 20 dan 21 Jun 2026, program akan bermula dari pukul 4 petang hingga 12 tengah malam.

Inisiatif ini selaras dengan aspirasi Kementerian Komunikasi dalam memperkukuh ekosistem industri kreatif negara dengan menyediakan platform bagi usahawan dan penggiat seni untuk memperluas jaringan profesional, mengembangkan potensi diri, serta memperkasa komuniti kreatif tempatan.

Orang ramai dijemput hadir bagi menikmati pelbagai pengisian menarik yang disediakan sepanjang program berlangsung dengan kemasukan adalah percuma bagi semua pengunjung.

Maklumat lanjut mengenai RIUH Pi HAWANA boleh diperoleh menerusi platform Facebook, Instagram dan TikTok @riuhinthecity serta @mycreativeventures.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button