Gaya HidupRencana

Nur Fateha cekal jaga suami terlantar akibat Sindrom Brugada

DI saat kebanyakan insan lain bahagia merancang masa depan bersama pasangan tercinta, Nur Fateha Isahak, 32, diuji dengan takdir yang tidak pernah disangka.

Suaminya, Muhammad Zulhilmi Zulkurnain, 32, yang selama ini sihat, tiba-tiba rebah tanpa amaran dan terlantar sakit akibat penyakit genetik yang amat jarang ditemui iaitu Sindrom Brugada.

Hidupnya berubah sekelip mata. Namun dalam gelapnya ujian, wanita cekal itu tetap menggenggam erat keyakinan bahawa setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.

Foto kenangan Nur Fateha bersama suaminya, Muhammad Zulhilmi ketika lelaki itu masih sihat dan dia sarat mengandung anak sulung.

“Semoga Allah permudahkan urusan suami dunia akhirat dan saya juga berharap, ada rezeki untuk dia sembuh suatu hari nanti.

“Saya percaya, Allah takkan menguji hamba-Nya melebihi kemampuan kita,” katanya kepada Malaysia Tribune.

Dugaan bertimpa ketika sarat mengandung

Kisah Nur Fateha bermula pada 2023 iaitu tahun yang mengubah seluruh kehidupannya yang diulit bahagia.

Dalam keadaan sarat mengandung anak sulung, Nur Fateha terpaksa berulang-alik ke Hospital Melaka, menjaga suami yang tidak sedarkan diri dan terlantar di Unit Rawatan Rapi (ICU) selepas diserang sakit jantung secara tiba-tiba selama hampir empat bulan.

“Ketika itu saya ke Melaka untuk ambil arwah emak yang sepatutnya jaga saya masa berpantang.

“Tapi tiba-tiba, suami pengsan tanpa sebarang petanda hingga dimasukkan ke ICU. Dalam keadaan sarat, saya terpaksa berkejar-kejar menguruskan semua perkara.

Anak perempuan pasangan ini, Aurel dilahirkan pramatang disebabkan Nur Fateha yang ketika itu sarat mengandung terpaksa berulang-alik menjaga suaminya di ICU Hospital Melaka.

“Disebabkan itu juga, anak saya lahir dalam keadaan pramatang, mungkin kerana terlalu penat dan stres,” ujarnya mengimbau kisah lalu.

Lebih memilukan, hanya dua minggu selepas suaminya jatuh sakit, ibu Nur Fateha pula disahkan menghidap kanser paru-paru tahap empat dan menghembuskan nafas terakhir di hospital yang sama, sementara suaminya masih tidak sedarkan diri di ICU.

Detik yang menghancurkan jiwa

Apabila doktor mengesahkan suaminya menghidap Sindrom Brugada iaitu sejenis gangguan irama jantung yang boleh menyebabkan organ itu terhenti secara mendadak, berita itu ibarat halilintar memecah bumi.

Diagnosis itu diperoleh selepas beberapa minggu suaminya tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri hampir satu jam.

Situasi itu mengakibatkan otaknya tidak menerima oksigen yang cukup sekali gus menyebabkan pembengkakan dan kerosakan kekal.

Gambar menunjukkan jenis-jenis Sindrom Brugada iaitu gangguan genetik yang jarang berlaku tetapi sangat serius berkaitan dengan irama jantung manusia.

Kini, beliau hanya bergantung pada tiub makanan, trakeostomi, susu khas dan lampin dewasa sepanjang hayat.

“Suami saya tak boleh bergerak langsung waima seinci pun. Saya masih ingat bagaimana setiap malam saya menangis dalam diam. Tapi saya tahu, saya tak boleh rebah,” ungkapnya.

Bisnes suami, harapan terakhir keluarga

Dalam keadaan penuh luka dan kehilangan, Nur Fateha bangkit meneruskan legasi suaminya – perniagaan minyak wangi Elegant AccScents yang diasaskan sejak 2021.

Meskipun tidak berpengalaman langsung dalam dunia bisnes, dia gagahkan diri belajar dari rakan kongsi suami dan dibantu staf yang setia.

Nur Fateha kini meneruskan perniagaan minyak wangi yang diusahakan suami sejak 2021 dengan dibantu staf yang setia.

Kini, syarikat itu yang dijenamakan semula sebagai Parfum, menawarkan lebih 50 jenis wangian diri dan kereta, selain menerima tempahan borong dan hadiah korporat.

“Bisnes inilah satu-satunya sumber pendapatan kami sekarang. Saya doakan agar Allah kurniakan rezeki melimpah ruah buat kami, demi suami, demi anak,” pintanya penuh berharap.

Aidilfitri sederhana, tapi bermakna

Tahun ini, sambutan Aidilfitri buat keluarga kecil Nur Fateha berlangsung dalam keadaan serba sederhana.

Tiada keriuhan atau kunjungan beramai-ramai. Hanya mereka anak-beranak, bersama ibu bapa mertua yang tidak jemu menyokong dan membantu.

“Tapi kami tetap beraya juga dengan jiran-jiran yang tidak pulang ke kampung. Walaupun sederhana, saya tetap bersyukur kerana masih ada yang sudi bertanya khabar,” ujarnya.

Sokongan daripada ahli keluarga serta ibu dan bapa mertua menjadi penguat semangat Nur Fateha meneruskan kehidupan.

Menurut Nur Fateha lagi, buat masa ini, dia duduk di rumah mertua untuk memudahkan menjaga suami dan anak kecilnya.

“Biasanya sebelum keluar bekerja, saya akan pastikan keperluan kedua-duanya cukup dan pulang segera pada pukul 6 petang untuk memantau mereka.

“Alhamdulillah, sokongan ibu bapa mertua sangat kuat. Ditambah dorongan adik-beradik lain membuatkan emosi saya semakin stabil. Bisnes pun masih fasa bertahan,” tuturnya.

Doa dan harapan seorang isteri

Setiap hari, Nur Fateha tidak pernah lelah berdoa untuk kesembuhan suaminya. Di sebalik ujian yang hampir membuatkan dia hilang arah, dia tetap yakin, Allah sedang mengatur sesuatu yang indah.

“Saya cuma mahu suami sembuh. Dapat lihat anak kami membesar, dapat pegang tangannya dan bercakap semula. Itu saja harapan saya,” kata Nur Fateha menutup bicara.

Wanita ini tidak pernah jemu berdoa agar suami yang dicintai kembali sembuh daripada penyakit yang dihidapi.

Bagi mereka yang ingin membantu meringankan beban Nur Fateha dan keluarga, sumbangan boleh disalurkan ke akaun berikut Maybank 164472361404 (Nur Fateha Isahak).

Semoga sedikit sumbangan kita memberi manfaat buat beliau dan suaminya yang teruji.

Sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Barangsiapa yang membantu seorang Muslim (dalam) suatu kesusahan di dunia maka Allah akan membantunya dalam kesusahan pada Hari Kiamat, dan barangsiapa yang meringankan (beban) seorang Muslim yang sedang kesulitan maka Allah akan meringankan (bebannya) di dunia dan akhirat.”

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button