Remaja Britain hilang selamat ditemui, dihantar pulang
KUALA LUMPUR – Remaja lelaki warga Britain, David Renz Balisong yang sebelum ini dilaporkan hilang selepas memasuki negara ini pada Jun lalu, selamat ditemui dan diserahkan kepada ibunya sebelum dihantar pulang ke United Kingdom.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, remaja berusia 17 tahun itu dibawa ke Hospital Cyberjaya untuk pemeriksaan lanjut dan disahkan tidak mengalami sebarang trauma atau kecederaan.
“Dia telah diserahkan kepada ibunya dan akan dihantar pulang ke Britain memandangkan visa lawatannya tamat pada 5 September. Kes ini kini dirujuk kepada Bahagian Siasatan Jenayah di KLIA untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Fadil, penemuan remaja berkenaan adalah hasil maklumat aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai ‘Uncle Kentang’, yang dimaklumkan oleh seorang pelancong Korea Selatan.
Pelancong terbabit difahamkan tinggal bersama David di sebuah hotel bajet di Jalan Pudu, sebelum menghubungi Uncle Kentang yang kemudian menyampaikan maklumat itu kepada polis.
“Pasukan Bahagian Siasatan Khas (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur segera ke lokasi dan menemui remaja terbabit dalam keadaan baik.
“Siasatan awal mendapati dia meninggalkan rumahnya di Britain kerana berselisih faham dengan keluarga sebelum mengambil keputusan datang ke Malaysia,” katanya.
Polis Kuala Lumpur turut merakamkan penghargaan kepada orang awam yang membantu sehingga membolehkan remaja itu ditemui dengan selamat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








