
Puspakom nafi wujud piawaian sendiri untuk cermin gelap
PETALING JAYA – Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) menegaskan agensi itu tidak mempunyai piawaian tersendiri berkaitan ketelusan cahaya cermin gelap seperti yang didakwa sesetengah pihak.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mahmood Razak Bahman berkata, pihaknya hanya menjalankan pemeriksaan berdasarkan peraturan yang ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan tidak menetapkan standard berasingan seperti yang didakwa oleh beberapa syarikat penjual filem penapis haba (tint).
“Tiada istilah ‘standard Puspakom’ untuk cermin gelap.
Kami mengikut spesifikasi JPJ dan melaksanakan pemeriksaan berdasarkan ketetapan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengulas laporan mengenai kad jaminan sebuah jenama filem penapis haba terkenal yang mendakwa produk mereka mematuhi JPJ tetapi tidak mematuhi Puspakom.
Mahmood menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak berasas dan mengelirukan, selain berkata, Puspakom mengecam sebarang cubaan menggunakan nama agensi itu untuk mengelak tanggungjawab terhadap kegagalan pemeriksaan.
“Kegagalan pemeriksaan biasanya berpunca daripada gabungan ketelusan cahaya antara cermin asal kenderaan dan filem yang ditampal.
“Ada kenderaan yang datang dari kilang sudah dilengkapi cermin berwarna gelap dan apabila ditambah lagi dengan filem tint, tahap ketelusan tidak lagi menepati syarat JPJ,” katanya lagi.
JPJ menetapkan kadar ketelusan cahaya minimum sebanyak 70 peratus untuk cermin hadapan, 50 peratus untuk cermin sisi hadapan, manakala tiada had dikenakan bagi cermin sisi dan belakang.
Mahmood turut menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dengan pihak tertentu termasuk ajen (runner) yang menyebarkan maklumat tidak tepat dan menakutkan pemilik kenderaan supaya membayar lebih atau menanggalkan tint tanpa sebab munasabah.
“Orang ramai perlu mendapatkan maklumat tepat daripada saluran rasmi dan tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








