Program Gerak Rahmah beri dorongan positif terhadap nilai kebersamaan, muhibah dan perpaduan
SIBU – Kementerian Perpaduan melancarkan Program Gerak Rahmah: ‘Jom Masak Bubur Lambuk Perpaduan dan Sungkei Perdana 2024’, di sini hari ini.
Program yang turut diadakan secara serentak di seluruh negara tersebut dilancarkan oleh Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang.
Beliau berkata, kejayaan program sebelum ini telah memberikan dorongan positif terhadap nilai-nilai kebersamaan, muhibah dan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa dan agama.
“Program seumpama ini dapat meningkatkan kesedaran dan menggerakkan peranan KRT (Kawasan Rukun Tetangga) sebagai agen penyatuan masyarakat serta menyumbang kepada pembangunan komuniti yang lebih progresif,” kata Aaron dalam ucapannya, hari ini.
Untuk rekod, sehingga kini, terdapat lebih daripada 8,438 KRT yang ditubuhkan di seluruh negara, dan jumlah ini dijangka akan terus meningkat setiap tahun.
Seterusnya, Aaron berkata, amalan penyediaan bubur lambuk di Malaysia secara ‘rewang’ atau gotong royong dalam komuniti juga merupakan simbol perpaduan yang unik.
Konsep penyatuan seperti ini harus juga diterjemahkan dalam kehidupan seharian dalam semua peringkat lapisan masyarakat sekaligus mengangkat agenda ‘Perpaduan Dalam Kepelbagian’.
“KRT adalah jentera perpaduan di peringkat komuniti yang berperanan penting dalam memastikan keselamatan, kesejahteraan, dan keharmonian,” katanya lagi.
Beliau turut menyatakan, juadah bubur lambuk harus diangkat sebagai simbol perpaduan dan nilai kebersamaan yang dapat dilihat dengan signifikan melalui penggabungan pelbagai ramuan seperti beras, bawang, rempah, daging dan sebagainya yang akhirnya memberikan citarasa yang sedap.
Program Gerak Rahmah merupakan satu inisiatif yang bertujuan memperkasa, dan mempergiatkan lagi aktiviti-aktiviti kemasyarakatan serta kesukarelawanan dalam komuniti, khususnya dalam mendukung aspirasi Kerajaan membangunkan Komuniti Rahmah.
Bagi edisi tahun ini, program dilaksanakan di tiga peringkat, iaitu peringkat kebangsaan di Sibu, Sarawak, peringkat negeri di 16 buah negeri, dan di peringkat KRT.
Pada tahun 2023, hampir 4,002 KRT telah menyertai program ini dengan pengedaran sebanyak 400,000 bekas bubur lambuk.
Bagi tahun ini, KPN mensasarkan lebih 600,000 bekas bubur lambuk akan diedarkan di seluruh negara oleh anggota KRT.
Selain agihan bubur lambuk, terdapat juga program lain seperti sumbangan Bakul Rahmah, Ziarah Rahmah, dan iftar Ramadan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








