BERITA SEMASABISNES & EKONOMI

Produk pelancongan Sabah catat jualan RM4.5 juta di Matta Fair 2025

KUALA LUMPUR – Penyertaan negeri Sabah pada edisi pertama Matta Fair Kuala Lumpur 2025 mencatat kejayaan memberangsangkan apabila berjaya meraih jumlah jualan tertinggi sebanyak RM4.5 juta sepanjang tiga hari penganjurannya, bermula 18 hingga 20 April lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah, Julinus Jeffery Jimit, berkata kejayaan itu adalah hasil dedikasi dan penyertaan aktif agensi-agensi pelancongan Sabah, serta bukti kerjasama erat pemain pelancongan dalam mempromosikan industri pelancongan negeri.

“Sebanyak 43 ejen pelancongan dari Sabah menyertai pameran itu yang diketuai oleh Lembaga Pelancongan Sabah (STB) sebagai peneraju utama mempromosikan destinasi itu di zon Sabah.

“Sambutan yang menggalakkan ini mengukuhkan status Sabah sebagai pilihan destinasi pelancongan domestik dengan pelbagai tawaran pakej pelancongan menarik untuk aktiviti pengembaraan, budaya dan alam semula jadi termasuk produk pelancongan berasaskan komuniti,” katanya.

Menerusi ekspo tersebut, Julinus berkata,
STB telah memperkenalkan dua jenama tempatan dari Sabah, iaitu Chanteek Borneo yang mempamerkan pelbagai rekaan pakaian dan tekstil dengan motif tradisional Sabah dan Uinah yang memperkenalkan minuman daripada hasil tani tempatan yang dituai secara mampan.

“STB terus komited dalam usahanya untuk meningkatkan promosi destinasi pelancongan Sabah dalam pasaran domestik dan antarabangsa, termasuklah dengan penyertaan aktif dalam acara pelancongan utama seperti Matta Fair.

“Usaha ini seiring dengan perancangan STB melalui kempen ‘Terokai Sabah’ menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026,” ujarnya lagi.

Sabah
Reruai STB mendapat sambutan yang menggalakkan di Matta Fair 2025.

‘Terokai Sabah Dulu Bah’ menjadi tema reruai STB di Matta Fair disamping menawarkan baucar rebat perjalanan sehingga RM100 untuk setiap pembelian pakej pelancongan dengan deposit minimum RM 600 dalam satu resit.

Sementara itu, bagi menggalakkan pembeli memilih produk pelancongan berasaskan komuniti, tawaran baucar rebat perjalanan sebanyak RM50 untuk setiap orang diberikan.

“Untuk memastikan reruai kekal menjadi tarikan, STB memberikan pengalaman realiti maya (VR) di samping menganjurkan aktiviti harian. Kajian soal selidik pengguna juga telah dijalankan untuk mengkaji pelancong domestik,” katanya.

Selain itu, Julinus turut melancarkan Peta Augmented Reality (AR Map) untuk peta Sabah dan peta Bandaraya Kota Kinabalu yang membolehkan
pengguna mengimbas kod pada peta untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan tempat-tempat tarikan utama.

“Peta ini menawarkan pengalaman interaktif, dilengkapi dengan garis panduan dan animasi untuk pengguna, manakala salinan peta AR ini telah diedarkan kepada tetamu di Matta Fair dan juga boleh dimuat turun dari laman web rasmi STB.

“Bahan promosi baharu ini adalah sebahagian daripada inisiatif STB untuk menjadikan pengalaman perjalanan ke Sabah lebih mengasyikkan, menarik dan mudah diakses,” katanya.

Terdahulu, Lembaga Pelancongan Sabah pada Ogos lalu, telah melancarkan chatbot talian digital iaitu Avantang, yang memberikan kemudahan 24 jam kepada pelancong untuk mendapatkan bantuan dan akses kepada maklumat penting perjalanan.

Kemudahan ini boleh diakses dari laman web STB, akaun WeChat atau nombor WhatsApp +6019-9392121.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button