Prasarana sudah buat laporan polis mengenai insiden pergaduhan di stesen LRT
PETALING JAYA – Pengendali transit aliran ringan (LRT), Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) sudah membuat laporan polis berhubung kejadian pergaduhan dipercayai meibatkan sekumpulan penyokong bola sepak di Stesen LRT Bandar Tasik Selatan, tengah malam tadi.
Prasarana dalam satu kenyataan hari ini menegaskan, pihaknya sedang bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membantu siasatan dalam memastikan tindakan sewajarnya diambil terhadap individu-individu terlibat.
“Pihak pasukan polis bantuan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mengambil tindakan dalam meleraikan pergaduhan yang melibatkan sekumpulan penyokong bola sepak di Stesen LRT Bandar Tasik Selatan, Laluan Ampang / Sri Petaling sekitar jam 12 tengah malam tadi.
“Insiden ini telah mengakibatkan kerosakan pada kemudahan di stesen serta pada bahagian pintu dan cermin tingkap tren yang berada di platform.
“Walau bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan semasa kejadian tersebut. Pasukan polis bantuan telah membawa keluar kumpulan penyokong yang terlibat dari Stesen LRT Bandar Tasik Selatan untuk mengelakkan sebarang situasi yang lebih merbahaya,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Prasarana turut menyatakan kesal dengan kejadian itu dan tidak akan bertolak ansur dengan sebarang bentuk kekerasan dan kelakuan agresif di stesen dan di dalam tren.
Terdahulu, PDRM mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan daripada seorang anggota polis bantuan yang berada di tempat kejadian.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






