POLITIK

PAS tegaskan keputusan singkir tiga bekas ADUN Perlis bukan arahan individu tapi parti

KUALA LUMPUR – Keputusan berhubung pemberhentian keahlian tiga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Perlis merupakan keputusan rasmi PAS Pusat berdasarkan ketetapan parti dan bukannya arahan peribadi Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Setiausaha Politik Presiden PAS merangkap Penolong Setiausaha Agung PAS Pusat, Syahir Sulaiman berkata, ketetapan tersebut adalah hasil keputusan Muktamar PAS selaku badan tertinggi parti.

Beliau berkata demikian sebagai respon terhadap laporan portal Malaysiakini bertajuk “Keputusan Hadi ‘singkir’ 3 ADUN Perlis belum muktamad.”

“Ketetapan berhubung keberhentian keahlian tiga bekas ADUN di Perlis merupakan keputusan PAS Pusat dan bukan arahan peribadi Presiden PAS seperti yang cuba digambarkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, Fasal 15A Perlembagaan PAS (Pindaan 2025) berkaitan Keberhentian Ahli Badan Perundangan PAS telah diluluskan oleh Muktamar PAS dengan sokongan sebulat suara dan pada penghujung fasal tersebut dinyatakan dengan jelas bahawa keputusan berkenaan adalah muktamad.

“Justeru, ketetapan ini adalah keputusan Muktamar selaku badan tertinggi parti.

“PAS Pusat hanya melaksanakan keputusan tersebut bagi memenuhi mandat dan hasrat akar umbi parti, mengambil kira betapa seriusnya pelanggaran ini,” katanya.

Syahir turut menjelaskan bahawa keputusan PAS Pusat yang dibuat pada 24 Disember 2025 adalah berdasarkan kepada perakuan dan pengakuan (admission & confession) yang diberikan sendiri oleh tiga bekas ADUN berkenaan kepada Jawatankuasa Harian PAS Pusat.

“Keputusan tersebut dibuat berdasarkan pengakuan yang diberikan dalam mesyuarat Jawatankuasa Harian PAS Pusat di Pejabat Agung PAS pada 21 Disember 2025,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa hubungan kepimpinan tertinggi parti kekal utuh dan harmoni.

“Adapun hubungan antara Presiden PAS, Mursyidul Am PAS, seluruh Ahli Jawatankuasa PAS Pusat serta Ahli Majlis Syura Ulama’ sentiasa terpelihara dan kekal utuh. Insya-Allah,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button