BERITA SEMASADALAM NEGERIPOLITIK

Tewas pemilihan YDP PAS, Mohd Shukri akur kekalahan

ARAU – Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli semalam menerima kekalahan dalam pemilihan jawatan Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan Arau dengan hati terbuka.

Beliau menyifatkan keputusan itu sebagai satu peringatan dan ruang untuk bermuhasabah sebagai pemimpin.

Sempena Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Arau ke-51, Mohd Shukri hanya meraih 43 undi dalam pertandingan merebut jawatan YDP.

Penyandang jawatan, Solahudin Azmi mengekalkan kedudukan dengan meraih 128 undi.

“Saya menerima keputusan ini dengan reda dan menjadikannya sebagai medan untuk menilai kembali tanggungjawab saya dalam parti dan kerajaan,” katanya menerusi hantaran di media sosial.

Mohd Shukri yang juga ADUN Sanglang menzahirkan penghargaan kepada semua perwakilan dan ahli jemaah yang hadir.

“Penganjuran mesyuarat ini bermakna dan menjadi ruang penting untuk memperkukuh semangat perjuangan parti di peringkat akar umbi.

“Saya terharu dengan kehadiran dan ucapan-ucapan yang memberi kesedaran kepada saya.

“Ia menyedarkan saya tentang perlunya muhasabah dalam menggalas amanah sebagai pemimpin,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berharap barisan kepimpinan baharu PAS Kawasan Arau dapat memperkukuh saf perjuangan, khususnya menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

“Saya yakin kepimpinan baharu akan terus memperkukuh jentera parti dan memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional di Perlis,” jelasnya.

Mohd Shukri merakamkan penghargaan kepada Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang disifatkan sebagai tokoh penting dalam memperkuatkan gerakan parti.

PAS sebelum ini menyatakan keyakinan bahawa PRU16 berkemungkinan diadakan lebih awal.

Susulan itu, persiapan jentera parti di peringkat negeri termasuk Perlis, Kedah dan Terengganu giat dilaksanakan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button