BERITA SEMASADALAM NEGERI

Polis nasihat orang ramai tidak buat spekulasi kematian remaja jatuh pangsapuri

GEORGETOWN – Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kematian seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang ditemukan mati di tingkat enam sebuah pangsapuri di Paya Terubong, Ayer Itam, semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, proses bedah siasat dijangka dijalankan esok di Hospital Pulau Pinang (HPP).

“Susulan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut, siasatan terhadap punca kematian ini akan dijalankan daripada pelbagai sudut.

“Justeru, polis ingin menyeru kepada orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes ini sehingga boleh menjejaskan siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 8.06 malam semalam.

Siasatan awal mendapati, mangsa merupakan seorang remaja perempuan warga tempatan, ditemukan dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri di atas lantai.

“Pemeriksaan terhadap badan remaja itu dan di sekitar kawasan kejadian mendapati tiada sebarang unsur jenayah,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan remaja terbabit dipercayai terjatuh dari tingkat 21 pangsapuri berkenaan sebelum mayatnya ditemui orang awam di tingkat enam yang menempatkan gerai penjaja.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button