
PNB salur RM650,000 perkasa lebih 300 penduduk Kampung Telok Kandis
ALOR SETAR – Permodalan Nasional Berhad (PNB) menyalurkan sumbangan berjumlah RM650,000 menerusi Program Santuni Madani bagi memperkasa pembangunan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan lebih 300 penduduk di Kampung Telok Kandis dan kawasan sekitarnya.
Timbalan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Rick Ramli berkata, dana tersebut digunakan bagi melaksanakan beberapa inisiatif termasuk pembinaan dewan serba guna terbuka, naik taraf tabika KEMAS serta baik pulih pintu gerbang kampung.
Beliau berkata, usaha itu bertujuan meningkatkan kemudahan awam selain memperkukuh identiti komuniti setempat.
“Program ini turut merangkumi bantuan kebajikan seperti penyediaan katil perubatan dan kerusi roda kepada keluarga memerlukan, selain sumbangan tunai dan barangan makanan asas kepada 60 penerima asnaf sempena bulan Ramadan,” memetik BH online.
Menurutnya, program tersebut juga memberi tumpuan kepada pemerkasaan ekonomi komuniti melalui bimbingan keusahawanan kepada 13 usahawan tempatan dengan kerjasama Universiti Utara Malaysia.
Bimbingan itu meliputi pengukuhan asas perniagaan, pendigitalan operasi serta peluasan akses pasaran bagi membantu usahawan meningkatkan pendapatan.
“Pendekatan ini selaras dengan matlamat pelaburan PNB untuk diterjemahkan kepada manfaat langsung kepada rakyat serta membuka peluang jangka panjang kepada generasi akan datang,” katanya lagi.
Selain itu, beliau memaklumkan bahawa 10 pelajar dari kawasan Kota Setar dan Sik menerima Biasiswa PNB TVET Scholarship bagi melanjutkan pengajian peringkat diploma dalam bidang perakaunan, kejuruteraan dan perniagaan.
Menurutnya, pelajar turut dibekalkan kemahiran tambahan seperti komunikasi, penyelesaian masalah serta literasi kewangan bagi melahirkan graduan berkemahiran tinggi yang memenuhi keperluan industri.
PNB kekal komited memastikan setiap inisiatif tanggungjawab sosial yang dilaksanakan memberi kesan positif terhadap kehidupan rakyat melalui pengukuhan ekonomi, pendidikan dan kesejahteraan komuniti secara mampan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















