BERITA SEMASA

PM lancar Program Sekolah Angkat MADANI, lebih 800 sekolah terima sokongan sektor swasta

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini melancarkan Program Sekolah Angkat MADANI yang menyaksikan kerjasama strategik antara kerajaan dan sektor swasta dalam usaha memperkukuh sistem pendidikan negara secara menyeluruh.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif yang diselaraskan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Kewangan (MOF) itu telah menerima komitmen daripada 80 organisasi sektor awam dan swasta untuk membantu lebih 800 sekolah, melepasi sasaran awal sebanyak 200 sekolah.

“Bagi menggapai wawasan Ekonomi MADANI, yakni sebuah negara yang dipacu oleh inovasi dan berpasakkan keadilan sosial, sistem pendidikan nasional perlu disegarkan dengan reformasi secara menyeluruh serta mampu memberi anak-anak kita dan tenaga pengajar fasiliti bertaraf dunia,” katanya ketika berucap di Majlis Peluncuran Sekolah Angkat MADANI di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.

Menurut beliau, kerajaan kini menyasarkan 1,000 buah sekolah untuk diangkat berikutan sambutan menggalakkan daripada pelbagai pihak.

“Lebih daripada sumbangan kewangan, rakan peserta Sekolah Angkat MADANI juga akan melaburkan kemahiran masing-masing untuk meningkatkan mutu sekolah angkat mereka agar kesenjangan pendidikan dapat dirapatkan.

Related Articles

“Mobiliti sosial yang hakiki hanya boleh dijayakan apabila anak-anak kita waima di bandar atau desa dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dalam menimba ilmu,” katanya.

Program Sekolah Angkat MADANI digagaskan untuk menangani jurang pendidikan antara sekolah bandar dan luar bandar dengan memadankan organisasi yang mempunyai sumber meluas dengan sekolah yang memerlukan sokongan.

Sementara itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, setiap organisasi yang mengambil sekolah angkat memberi komitmen terhadap kerjasama jangka panjang merangkumi lima bidang utama, iaitu menaik taraf infrastruktur dan kemudahan sekolah; memperkasa program akademik serta bimbingan pelajar; memperkukuh latihan guru; menyediakan bantuan kewangan dan biasiswa; serta membangunkan sahsiah dan kemahiran pelajar.

“Inisiatif ini mencerminkan kepercayaan Kerajaan bahawa pendidikan berkualiti adalah tanggungjawab bersama.

“Dengan menggabungkan kepakaran kerajaan dan sektor swasta, program ini menyasarkan untuk memastikan tiada pelajar yang ketinggalan,” katanya ketika berucap pada majlis sama.

Menurutnya, antara pihak yang memberi sokongan termasuk 32 syarikat swasta, 29 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), 29 agensi kerajaan serta 27 syarikat milik Menteri Kewangan (Diperbadankan).

Katanya, setiap organisasi memilih sekolah angkat berdasarkan kemampuan serta keperluan khusus sekolah tersebut, dengan pendekatan bersasar yang menekankan pemindahan kemahiran, program bimbingan dan pembangunan infrastruktur, sekali gus mewujudkan perkongsian yang lestari.

Program itu akan bermula pada April 2025 dan fasa pertamanya dijangka selesai pada 31 Disember 2025, dengan peluasan program tertakluk kepada hasil pelaksanaan fasa pertama.

Sekolah Angkat MADANI dicetuskan hasil seruan Perdana Menteri agar sektor korporat memainkan peranan lebih besar dalam pembangunan negara, khususnya dalam bidang pendidikan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button