PM dijadual adakan lawatan rasmi ke Jepun esok
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual mengadakan lawatan rasmi selama tiga hari ke Jepun bermula esok, termasuk pertemuan dengan Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi.
Menurut laporan NHK World yang memetik Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Minoru Kihara, kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan pelbagai isu dua hala dan antarabangsa, termasuk perkembangan di Asia Barat serta kerjasama dalam bidang keselamatan dan ekonomi.
Beliau berkata, Malaysia dan Jepun mempunyai hubungan strategik komprehensif yang kukuh serta berkongsi nilai dan prinsip asas yang sama, selain penting dalam merealisasikan visi Indo-Pasifik bebas dan terbuka yang digariskan Tokyo.
Sementara itu, Anwar turut dijadual menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Masa Depan Asia Nikkei Ke-31 pada 10 Jun.

Berdasarkan atur cara, beliau akan membuka sesi utama persidangan itu pada pukul 9.40 pagi waktu tempatan (8.40 pagi waktu Malaysia).
Persidangan bertemakan ‘Where Great Minds Shape Tomorrow’ itu menghimpunkan pemimpin politik, tokoh korporat dan pakar antarabangsa bagi membincangkan hala tuju ekonomi, geopolitik dan masa depan rantau Asia.
Antara pemimpin serantau yang dijangka hadir ialah Presiden Timor-Leste, José Ramos-Horta; Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone; Timbalan Perdana Menteri Thailand, Sihasak Phuangketkeow serta Timbalan Perdana Menteri Vietnam, Le Tien Chau.
Dalam pada itu, satu sidang media pembukaan lawatan akan diadakan di Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo oleh Duta Besar Malaysia ke Jepun, Datuk Shahril Effendi Abd Ghany bagi memperincikan lawatan kerja Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














