PM akan bangkitkan isu elaun intern kepada pemain industri esok
CYBERJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membangkitkan isu mengenai elaun mahasiswa yang menjalani latihan industri atau ‘internship’ ketika bertemu dengan pemain industri, esok.
Kata Anwar, beliau bersetuju supaya mereka mendapat bayaran yang mencukupi dan dapat melegakan kos perjalanan dan makan minum sepanjang mereka melakukan latihan tersebut.
“Esok saya ada perbincangan dengan pelabur-pelabur di Bursa Saham dan Suruhajaya Sekuriti mungkin saya akan bawa isu ini.
“Dan minta supaya syarikat-syarikat digalak mengambil intern dan tidak dibayar sebagai gaji atau separuh gaji, sekurangnya bayarlah mencukupi supaya (kos) perjalanan, makan mereka itu ditanggung walaupun namanya intern,” kata Anwar.
Anwar berkata demikian ketika muncul pada program Temu Anwar di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) hari ini.
Sementara itu, seorang mahasiswa bertanya pandangan Anwar mengenai isu syarikat yang tidak mahu membayar upah kepada pelajar yang menjalani latihan industri walaupun terpaksa melakukan tugas sebagai seorang pekerja sepenuh masa.
“Intern ini maknanya apa? Maknanya syarikat atau industri pilih untuk mendapatkan sukarelawan datang diberikan pendedahan (pekerjaan).
“Prinsip intern itu tidak ada elaun atau bayaran. Adakah ini adil? Saya rasa tidak adil.
“Sebab itu bila saya ambil intern di Pejabat Ketua Pembangkang dulu di Parlimen kita bayar. Tidak terlalu tinggi tapi sekurang-kurangnya makan minum dia, perjalanan dia ada sikit elaun,” kata Anwar.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















