BERITA SEMASADALAM NEGERI

PLUS jangka 2.2 juta kenderaan sehari sempena perayaan, cuti sekolah

KUALA LUMPUR – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan peningkatan ketara jumlah trafik di seluruh rangkaian lebuh rayanya sepanjang musim cuti pertengahan tahun persekolahan dan beberapa perayaan utama yang berlangsung dari esok hingga 7 Jun depan.

Menurut PLUS, aliran trafik harian dijangka mencecah sehingga 2.2 juta kenderaan sehari, manakala di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), jumlah trafik pada hari puncak dianggarkan mencapai 50,000 kenderaan sehari.

Peningkatan tersebut didorong oleh cuti bertindih yang melibatkan sambutan Hari Wesak, Aidiladha dan Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, sekali gus menyebabkan lebih ramai pengguna melakukan perjalanan rentas negeri.

PLUS memaklumkan pergerakan keluar dari Lembah Klang dijangka paling sibuk pada 22, 23, 26, 28, 29, 30 dan 31 Mei, sementara aliran pulang ke ibu negara dijangka memuncak antara 4 hingga 7 Jun.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal serta menggunakan jadual perjalanan digital MyPLUS-TTA menerusi aplikasi PLUS bagi mengelakkan kesesakan teruk.

Bagi memastikan kelancaran trafik, PLUS telah mengaktifkan Smart Lane di 33 lokasi strategik bagi menambah kapasiti lorong di kawasan yang sering mengalami kesesakan.

Selain itu, lebih 500 anggota PLUSRonda dan LPT2Ronda akan ditempatkan untuk menjalankan rondaan sepanjang masa, manakala operasi di plaza tol dipertingkatkan dengan pembukaan semua lorong dan pemantauan trafik secara masa nyata melalui Pusat Pemantauan Trafik (TMC).

PLUS turut bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) serta agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan pengguna dan kelancaran perjalanan sepanjang tempoh cuti berkenaan.

Dalam pada itu, pengguna lebuh raya diingatkan supaya memastikan baki kad Touch ‘n Go atau eWallet mencukupi serta memeriksa keadaan kenderaan sebelum memulakan perjalanan bagi mengelakkan sebarang kesulitan di jalan raya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button