Pidato Tun Sambanthan angkat falsafah, pemikiran negarawan – Saraswathy
KUALA LUMPUR — Penganjuran Pertandingan Pidato Tun V.T. Sambanthan yang akan bermula pada November ini bukan sahaja bertujuan mengimbau sejarah tokoh besar negara itu tetapi mengetengahkan falsafah, pemikiran dan hubungan beliau dengan tokoh-tokoh besar lain seperti Tunku Abdul Rahman.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Saraswathy Kandasami berkata, pidato itu juga diharap tidak bersifat fakta semata-mata, sebaliknya menggali dan mengangkat pemikiran mendalam yang pernah diketengahkan oleh mendiang Tun Sambanthan, khususnya dalam konteks perpaduan dan pembinaan negara bangsa.
“Kita bukan sahaja mahu peserta bercakap tentang siapa itu Tun Sambanthan, tetapi juga memahami dan mengupas pandangan serta prinsip beliau yang relevan untuk generasi kini,” katanya pada sidang media pengumuman pertandingan tersebut di Kementerian Perpaduan, di sini, pagi tadi.
Pertandingan anjuran National Land Finance Cooperative Society (NLFCS) dengan kerjasama Arkib Negara Malaysia itu merupakan kesinambungan kepada program Mengenang Jasa Tun V.T. Sambanthan yang berlangsung baru-baru ini.
Saraswathy berkata, kementeriannya menyambut baik cadangan penganjuran pidato tersebut kerana ia memberi ruang kepada golongan muda berusia bawah 30 tahun untuk lebih memahami dan menghargai sumbangan tokoh-tokoh terdahulu.
“Tun Sambanthan ialah Menteri Perpaduan yang pertama dan telah merangka dasar-dasar penting yang masih relevan sehingga kini.
“Justeru, inisiatif ini membantu generasi muda menelusuri sejarah serta memahami erti sebenar perpaduan,” ujarnya.

Menurut beliau, program itu juga memberi peluang kepada peserta meneliti bagaimana hubungan antara tokoh-tokoh seperti Tun Sambanthan dan Tunku Abdul Rahman telah mempengaruhi landskap politik dan sosial negara.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Pengurusan) Arkib Negara Malaysia, Zaidin Mohd Noor memaklumkan, terdapat lebih 700 bahan berkaitan Tun Sambanthan tersedia di Memorial Negarawan, termasuk rakaman video, foto, teks ucapan serta dokumen penting yang boleh dirujuk oleh peserta sebagai sumber pidato.
“Kami amat mengalu-alukan pelajar dan peserta yang berminat untuk datang membuat rujukan. Ini adalah peluang untuk mereka menyelami sendiri sejarah dan pemikiran tokoh tersebut,” katanya.
Pertandingan pidato bahasa Tamil itu akan diadakan secara berperingkat di empat zon seluruh negara melibatkan pelbagai universiti awam dan swasta, manakala pusingan akhir di Kuala Lumpur pada penghujung November ini.
NLFCS turut menawarkan hadiah wang tunai sehingga RM6,000 kepada 10 peserta terbaik, dengan tempat pertama membawa pulang RM3,000 dan sijil penghargaan.
Eksekutif NLFCS, Panneerselvam Karupiah pula berkata, sebagai pengasas NLFCS, pihaknya berasa sangat berhutang budi kepada Tun Sambanthan.
“Ketika berlakunya fragmentasi ekonomi kaum India pada tahun 1957, beliau menjadi penyelamat dengan menubuhkan koperasi ini demi kesejahteraan masyarakat India.
“Koperasi ini bermula dengan pembelian Ladang Bukit Sidim daripada pihak British pada tahun 1974 dengan harga RM3 juta.
“Tun Sambanthan mengumpulkan dana melalui sumbangan RM10 daripada para pekerja ladang iaitu satu wawasan luar biasa yang menunjukkan komitmen beliau bukan sahaja kepada masyarakat India tetapi juga kepada pembangunan negara,” jelas beliau.
Selain memberi penghormatan kepada legasi Tun Sambanthan, pertandingan itu juga dilihat sebagai platform memperkasa suara anak muda dalam memahami sejarah dan membina perpaduan nasional secara intelektual dan berwacana.
Pertandingan pidato itu akan diadakan di empat zon seluruh negara iaitu Zon Utara – Universiti Malaya (UM); Zon Tengah – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI); Zon Selatan – Universiti Sains Malaysia (USM)
dan Zon Timur – Universiti Malaysia Pahang (UMP)
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








