HIBURAN

PESAWAT kembali dengan album baharu ‘Flight Mode’

KUALA LUMPUR – Kumpulan indie rock tempatan, PESAWAT mengumumkan pelancaran album studio terbaharu berjudul Flight Mode, sekali gus menandakan fasa baharu yang lebih matang dan berani dalam perjalanan seni kumpulan itu.

PESAWAT di showcase pelancaran Album semalam.

Vokalis PESAWAT, Jipie berkata, album berkenaan diterbitkan dengan sokongan Kementerian Komunikasi dan MyCreative Ventures menerusi Dana Kebolehanpasaran Domestik 2.0, yang menjadi pemangkin utama dalam merealisasikan penerbitan album tersebut.

“Flight Mode merupakan album dwibahasa yang menghimpunkan 14 lagu dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, diterbitkan oleh Jipie bersama PESAWAT katanya dalam satu kenyataan semalam.

Album penuh Flight Mode dijadualkan dilancarkan pada 30 Januari 2026 dan akan berada di kedai fizikal terpilih serta semua platform penstriman digital.

Jipie turut berkata, album tersebut mengangkat konsep pengalaman sebuah penerbangan, bermula daripada pelepasan, perjalanan emosi, turbulens, refleksi diri sehingga ke pendaratan, yang disifatkan sebagai gambaran perjalanan hidup dan perasaan manusia.

“Single pertama album berkenaan, Levitation, diikuti Burung Besi sebagai single kedua, mengekalkan identiti muzik PESAWAT yang melankolik dan atmosferik, namun dengan susunan serta produksi yang lebih kemas dan luas,” katanya lagi.

Album itu turut menampilkan kolaborasi bersama beberapa pemuzik terkenal tanah air antaranya Emmett daripada Butterfingers, Black Hanifah, Joanna Renisa (Joanna & Co.) dan Mann XIII (Electric Funeral), selain sumbangan pemuzik jemputan lain dalam beberapa lagu terpilih.

PESAWAT yang kini dianggotai oleh Jipie, Mie, Mann dan Jun memaklumkan album tersebut melalui proses pembikinan yang panjang, namun berjaya disiapkan walaupun berdepan pelbagai cabaran sepanjang tempoh rakaman.

Album itu amat dinantikan bukan sahaja oleh kumpulan berkenaan, malah peminat setia PESAWAT yang dikenali sebagai Passengers.

“Alhamdulillah, selepas melalui tempoh pembinaan material yang panjang dan proses rakaman yang intensif, album Flight Mode akhirnya bersedia untuk diperdengarkan kepada semua pendengar,” katanya lagi.

Album penuh Flight Mode dijadualkan dilancarkan pada 30 Januari 2026 dan akan berada di kedai fizikal terpilih serta semua platform penstriman digital.

Bagi meraikan pelancaran tersebut, PESAWAT turut merancang Jelajah Showcase Flight Mode yang akan bermula di Johor Bahru sebelum diteruskan ke beberapa lokasi lain di seluruh negara dan berakhir di Kuala Lumpur.

Menurut PESAWAT, Flight Mode bukan sekadar sebuah album, sebaliknya satu pengalaman muzik yang mengajak pendengar untuk ‘berlepas’ seketika daripada realiti dan menyelami ruang peribadi masing-masing.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button