Persatuan media kecewa keputusan Mahkamah Agung Israel tangguh petisyen akses wartawan antarabangsa ke Gaza
BAITULMAQDIS – Persatuan Media Asing (FPA) kecewa dengan keputusan Mahkamah Agung Israel yang menangguhkan keputusan berhubung petisyen menuntut akses segera bagi wartawan antarabangsa ke wilayah Gaza.
Petisyen yang difailkan oleh FPA, yang mewakili ratusan wartawan antarabangsa di Israel dan wilayah Palestin, telah didengar buat pertama kali hari ini, lapor AFP.
Peguam Negara Israel mengakui bahawa “situasi telah berubah” susulan gencatan senjata yang disokong Amerika Syarikat pada 10 Oktober, namun memohon tempoh tambahan 30 hari untuk meneliti keadaan semasa.
Mahkamah kemudiannya membenarkan lanjutan sebulan kepada pihak berkuasa Israel bagi merangka pelan kemasukan wartawan asing ke Gaza.
“FPA kecewa dengan keputusan Mahkamah Agung Israel yang sekali lagi memberikan penangguhan kepada pihak negara berhubung kemasukan bebas wartawan ke Gaza.
“Kami tidak mendapat apa yang kami harapkan. Kami menjangkakan mahkamah akan mengarahkan pembukaan sempadan serta-merta,” kata ahli lembaga FPA, Josef Federman dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau menambah bahawa usaha tersebut telah diperjuangkan selama dua tahun.
FPA turut menyatakan harapan supaya mahkamah akan “berpendirian tegas terhadap sebarang penangguhan lanjut oleh pihak negara.”
“Pihak negara hari ini sekali lagi menggunakan taktik melengah-lengahkan untuk menghalang kemasukan wartawan,” katanya lagi.
Sejak tercetusnya perang Gaza pada Oktober 2023, pihak berkuasa Israel telah melarang kemasukan wartawan asing ke wilayah yang musnah itu, kecuali beberapa lawatan terhad yang dikawal ketat bersama pasukan tentera.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








