POLITIK

Perpaduan kukuh mampu tangkis usaha ‘tebuk atap’ jatuhkan kerajaan – Mohamad Sabu

BUTTERWORTH – Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Seri Mohamad Sabu menegaskan kekuatan perpaduan dalam kalangan ahli parti mampu menangkis usaha segelintir pihak yang cuba menjatuhkan kerajaan menerusi gerakan ‘tebuk atap’.

Beliau berkata, pengalaman kejatuhan kerajaan susulan Langkah Sheraton perlu dijadikan pengajaran supaya sebarang usaha seumpama itu dapat dibendung lebih awal.

“Soal perpaduan penting, sebab itu saya marah bila ada ura-ura nak buat tebuk atap di Negeri Sembilan kerana hal itu, kita sudah ada pengalaman sebelum ini.

“Dalam hal Langkah Sheraton, bila disebut ‘tebuk atap’ mesti ada orang dalam, sebab itu kerajaan jatuh kerana orang dalam. Jarang dia jatuh kerana kekuatan musuh,” katanya ketika menyampaikan Ceramah Isu Semasa di luar perkarangan Pejabat AMANAH Pulau Pinang di Sungai Dua pada malam kelmarin.

Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata, perpaduan antara Pakatan Harapan dan Barisan Nasional perlu terus diperkukuh bagi memastikan kestabilan kerajaan dapat dikekalkan.

“Kita tahu bila berkawan dengan BN, dulu kita banyak kritik mereka dan sebaliknya, tetapi bila berkawan, kita boleh selesai di meja rundingan dan tidak perlu lagi pergi kepada media.

“Alhamdulillah, sudah tiga tahun setengah kerajaan ini berjalan baik. Saya yakin pada pilihan raya akan datang, Kerajaan Perpaduan akan kembali memerintah,” katanya lagi.

Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya tidak menimbulkan sebarang konflik dalaman yang boleh menjejaskan hubungan antara parti-parti dalam kerajaan.

“Kita perlu jaga perpaduan antara kerajaan, PH dengan BN, jika kita marah pun sehingga pilihan raya. Jangan buat kecoh sebelum pilihan raya untuk jaga perpaduan kita semua,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, sebarang perubahan formula kerjasama politik menjelang pilihan raya akan datang hanya akan diputuskan apabila tiba waktunya.

“Buat masa sekarang kita bersama tetapi jika keadaan menjelang pilihan raya berlaku formula lain, kita akan hadap cara lain,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button