RM53,100 diperuntuk lindungi wartawan sambilan – Fahmi
KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi keutamaan kepada kebajikan pengamal media sambilan menerusi peruntukan sebanyak RM53,100 bagi dua inisiatif utama tahun ini, melibatkan perlindungan sosial dan simpanan persaraan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM37,170 disalurkan bagi perlindungan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), manakala RM15,930 diperuntukkan caruman i-Saraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Inisiatif ini adalah hasil kerjasama antara Bernama dan PERKESO sebagai usaha memperkukuh jaringan perlindungan sosial buat petugas media sambilan yang memainkan peranan penting dalam penyampaian maklumat kepada rakyat.
“Perlindungan di bawah SKSPS merangkumi faedah perubatan, hilang upaya sementara dan kekal, faedah orang tanggungan, pengurusan jenazah serta elaun layanan sentiasa,” katanya pada Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Majlis kemuncak HAWANA bertemakan “Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika” dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa; Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa serta pimpinan tertinggi Bernama dan syarikat media tempatan.
Menurut Fahmi, perluasan perlindungan melibatkan caruman i-Saraan KWSP sebagai persediaan kewangan selepas persaraan buat pengamal media sambilan.
“Langkah ini bukan semata-mata bantuan bersifat segera, sebaliknya pelaburan jangka panjang bagi menjamin masa depan mereka yang saban hari menyumbang kepada kemakmuran negara melalui kewartawanan,” ujarnya.
Beliau turut berkongsi kejayaan Tabung Kasih@HAWANA yang diwujudkan sejak April 2023 dan memberi manfaat kepada 441 pengamal media dengan jumlah sumbangan melebihi RM1.2 juta setakat ini.
HAWANA 2025 merupakan anjuran Kementerian Komunikasi dengan kerjasama Bernama sebagai agensi pelaksana bagi menghargai peranan media dalam membina masyarakat bermaklumat.
Tanggal 29 Mei diiktiraf sebagai Hari Wartawan Nasional, mengambil sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939 – simbol kepada sumbangan berterusan media terhadap pembangunan negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





