Perlembagaan Persekutuan akan dipinda bagi pisahkan peranan Peguam Negara, Pendakwa Raya
PUTRAJAYA – Pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan akan dibuat bagi membolehkan pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya dilaksanakan.
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam satu kenyataan berkata, pindaan akan dibuat kepada Perkara 145, Perkara 183 dan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan secara berasingan.
Satu Rang Undang-Undang Pembaharuan Undang-Undang (Pendakwa Raya) akan turut akan digubal secara omnibus untuk meminda Kanun Tatacara Jenayah serta 18 akta lain yang berkaitan.
Pada masa sama, satu akta baharu khusus mengenai saraan Peguam Negara dan Pendakwa Raya juga akan diwujudkan sebagaimana Akta Saraan Hakim 1971 (Akta 45).
“Pasukan Petugas Khas Teknikal diterajui BHEUU JPM bersama Jabatan Peguam Negara, dengan penglibatan Kementerian Kewangan, Jabatan Perkhidmatan Awam, Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan serta Suruhanjaya Perkhidmatan Awam akan memperincikan semua aspek pelaksanaan termasuk struktur organisasi, perjawatan, logistik dan implikasi kewangan,” kata kenyataan itu, hari ini.
Menurut BHEUU JPM, syor lengkap hasil perincian itu akan dikemukakan kepada Jemaah Menteri untuk pertimbangan supaya pindaan yang diperlukan dapat dilaksanakan dan pelaksanaan pengasingan dapat dijalankan dengan sewajarnya, selaras dengan Perlembagaan serta undang-undang sedia ada.
“Langkah ini merupakan reformasi institusi perundangan yang holistik dan signifikan di bawah kerangka Kerajaan Madani bagi mengukuhkan tadbir urus, memperkasakan kedaulatan undang-undang dan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara,” kata kenyataan itu lagi.
Terdahulu, Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil mengumumkan kerajaan bersetuju untuk mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya dalam mesyuarat kabiunet, hari ini.
Beliau dalam sidang media mingguannya berkata, keputusan bersejarah itu dicapai setelah mesyuarat mendengar pembentangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








