Penyertaan 63 negara serlah keyakinan global terhadap Malaysia di DSA & NATSEC Asia 2026
KUALA LUMPUR – Penyertaan antarabangsa yang memberangsangkan menjadi tumpuan utama pameran Defence Services Asia (DSA) dan National Security Asia (NATSEC) Asia 2026 yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, bermula Isnin hingga Khamis.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Haji Mohamed Khaled Nordin berkata, penyertaan tersebut membuktikan keyakinan tinggi komuniti antarabangsa terhadap Malaysia sebagai platform neutral bertaraf dunia dalam sektor pertahanan dan keselamatan.
“Walaupun dunia ketika ini berdepan pelbagai cabaran geopolitik dan konflik semasa, penganjuran kali ini tetap berjaya menghimpunkan 1,456 syarikat dari 63 negara.
“Termasuk pavilion besar dari China, Türkiye, AS, Itali, India dan UAE, selain penyertaan pavilion baharu oleh Croatia, Finland, Hungary, Japan dan Russia,” katanya menerusi hantaran akaun Facebook.
Katanya, walaupun dunia ketika ini berdepan pelbagai cabaran geopolitik dan konflik semasa, penganjuran kali ini tetap berjaya menghimpunkan penyertaan global yang besar.
“Ia sekali gus membuktikan keyakinan tinggi masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia yang menyediakan platform neutral bertaraf dunia bagi sektor pertahanan dan keselamatan, serta menghimpunkan teknologi pertahanan terkini dan termaju dari seluruh dunia,” katanya.
Dengan tema “Enhancing Capabilities and Resilience Through Technology”, pameran itu menegaskan kepentingan teknologi moden dalam memperkukuh pertahanan dan keselamatan masa hadapan.
Sementara itu, sebanyak 368 syarikat tempatan turut mengambil bahagian, selari dengan Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) yang diperkenalkan awal tahun ini bagi memperkasa industri pertahanan tempatan.
Turut diperkenalkan segmen baharu seperti CDIM Pavilion, CBRNE Arena, Firearms & Tactical Gear, DSA & NATSEC Asia Lab serta Business-to-Business MOUs @ Centre Stage yang membuka lebih banyak peluang kerjasama strategik dan urus niaga industri.
Penganjuran turut diperkukuh melalui Putrajaya Forum dan UPNM Forum, selain menjadi platform penting diplomasi pertahanan dan jaringan kerjasama antarabangsa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













