Pentadbiran Johor dipantau rapi, kerajaan negeri tidak gagal – TMJ
JOHOR BAHRU – Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menegaskan pentadbiran Kerajaan Negeri Johor sentiasa dipantau secara menyeluruh bagi memastikan setiap dasar, projek dan inisiatif yang dirancang benar-benar dilaksanakan demi kepentingan rakyat.
Baginda berkata, dakwaan kononnya kerajaan negeri gagal menjalankan tanggungjawab atau mengabaikan kebajikan rakyat adalah tidak berasas kerana setiap perkara yang melibatkan pentadbiran dipantau secara dekat
Ia termasuk mendapatkan penjelasan terus daripada kepimpinan kerajaan negeri sekiranya berlaku kelewatan.
“Jangan datang sini cakap benda bukan-bukan seolah-olah rakyat tidak dilayan dengan baik ataupun kerajaan yang mentadbir tidak membuat kerja.
“Saya monitor kerajaan saya. Saya pastikan kerajaan ini buat kerja,” titah baginda dalam satu sesi bersama rakyat Johor di Muar semalam.
Menurut baginda, tahap pemantauan terhadap pentadbiran negeri dilakukan secara serius, termasuk mendapatkan penjelasan terus daripada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Setiausaha Kerajaan Negeri sekiranya sesuatu perkara masih belum diselesaikan.
“Kalau tidak buat kerja, awak boleh tanya Datuk Menteri Besar, boleh tanya Datuk Setiausaha Kerajaan Negeri.
“Sampai kadang-kadang pukul tiga pagi pun saya telefon dan tanya, kenapa benda ini belum siap?” titah baginda.
Baginda turut menegaskan bahawa Johor tidak memerlukan politik yang hanya dipenuhi janji, teori dan lakonan, sebaliknya kepimpinan yang mampu melaksanakan keputusan serta memberikan hasil nyata kepada rakyat.
“Saya tidak suka janji ataupun cakap dongeng. Saya suka melaksanakan. Apabila ada visi, mesti kita laksanakan.
“Visi tanpa pelaksanaan hanyalah satu halusinasi,” titah baginda memetik laporan Kosmo! Online.
Tunku Mahkota Ismail berkata, rakyat perlu menilai sesebuah kerajaan berdasarkan fakta, prestasi, keupayaan turun padang serta hasil yang berjaya dicapai, bukannya berdasarkan persepsi atau dakwaan tidak berasas.
Baginda turut mengingatkan bahawa mencari kesalahan dan membuat pelbagai janji ketika menjadi pembangkang adalah mudah, namun tidak semua pihak mempunyai kemampuan untuk mentadbir apabila diberi amanah.
“Untuk cari isu, cari salah dan menjadi pembangkang memang senang.
“Tetapi apabila sudah dapat kerusi untuk mentadbir, tidak semua orang boleh mentadbir,” titah baginda.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








