BERITA SEMASA

Pengguna lebuh raya nikmati diskaun tol 50 peratus selama dua hari sempena Tahun Baharu Cina

KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) mengumumkan pengguna lebuh raya bakal menikmati diskaun tol sebanyak 50 peratus sempena sambutan Tahun Baharu Cina selama dua hari bermula 14 dan 15 Februari ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pelaksanaan itu telah diputuskan dalam Mesyuarat Kabinet Kerajaan MADANI semalam.

“Implikasi kewangan yang ditanggung kerajaan bagi membayar balik pampasan kepada Syarikat Konsesi Tol yang terlibat dianggarkan berjumlah RM19.5 juta.

“Keputusan ini diambil selaras dengan agenda Kerajaan MADANI dalam menjaga perpaduan dan kesejahteraan rakyat yang merentasi kepelbagaian agama, kaum, dan kepercayaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pemberian diskaun tol 50 peratus itu diharap dapat meringankan beban kos perjalanan rakyat Malaysia yang merancang perjalanan untuk pulang ke kampung halaman bagi meraikan sambutan Tahun Baharu Cina bersama ahli keluarga atau bercuti untuk menyambut awal Ramadan.

“Pelaksanaan diskaun ini akan bermula pada pukul 12.01 tengah malam, 14 Februari 2026 (Sabtu) dan berakhir pada pukul 11.59 malam, 15 Februari 2026 (Ahad),” katanya.

alexander
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Tambah beliau, inisiatif itu tertakluk kepada kenderaan persendirian Kelas 1 di semua plaza tol serta Kelas 2 bagi Jambatan Pulau Pinang, namun ia dikecualikan bagi plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).

“Pemilihan tarikh tersebut bertujuan mengelakkan penumpuan trafik pada hari perjalanan selain mengoptimumkan pengoperasian dan penyelarasan logistik tambahan di sepanjang kawasan hentian sebelah serta kawasan Rehat dan Rawat (RSA) di lebuh raya.

“Semua pengguna lebuh raya diharapkan dapat memanfaatkan pengurangan kadar tol ini dengan sebaiknya dan merancang perjalanan dengan sewajarnya bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas,” katanya lagi.

Dalam pada itu, pengguna disarankan memuat turun aplikasi MyPLUSTTA dan TuJu Highway Navigation App LLM untuk mendapatkan cadangan jadual waktu perjalanan bagi meningkatkan aspek keselamatan dan keselesaan pemanduan.

“Semua pengguna jalan raya juga dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi arahan papan tanda, had laju dan maklumat yang dipaparkan di Variable Message System (VMS).

“Bagi mereka yang menggunakan lorong Smart Lane, anda diminta memberi isyarat awal sebelum memasuki lorong tersebut, memandu dengan kelajuan ditetapkan dan sentiasa peka dengan keadaan sekeliling,” tambahnya.

Pengguna juga disarankan untuk menyemak status trafik semasa atau sebarang insiden di lebuh raya melalui saluran rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia di Facebook, aplikasi X, TikTok atau menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752.

Maklumat tambahan juga boleh didapati melalui laman sesawang rasmi LLM untuk paparan CCTV serta WhatsApp Channel LLM Info Trafik.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button