BERITA SEMASAHIBURAN

Tayangan dua filem disekat, penerbit gagal bayar kru

KUALA LUMPUR – Tayangan dua filem yang menerima insentif Dana Kandungan Kreatif (DKK) telah disekat susulan kegagalan pihak penerbit membayar gaji kru produksi.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, tayangan hanya akan dibenarkan semula selepas bayaran kepada kru dilunaskan.

Fahmi
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil

“Kita mendapati sekurang-kurangnya dua filem yang saya tidak akan namakan, tidak membayar kru walaupun penerbit telah menerima Dana Kandungan Kreatif.

“Jadi, kita telah menghalang tayangan mereka.

“Kita maklumkan kepada mereka untuk menyelesaikan bayaran terlebih dahulu sebelum boleh memohon tayangan, terutama di bawah Skim Wajib Tayang,” katanya pada Majlis Sambutan Hari Seniman 2025, hari ini.

gagal bayar kru
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil di Sambutan Hari Seniman

Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata, pindaan terhadap Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) 1981 dijangka dibentangkan dalam sidang Parlimen akan datang.

“Pindaan ini bertujuan menjadi pemangkin kepada industri serta sebagai persediaan menghadapi cabaran semasa, termasuk isu kebajikan, kandungan dan perkembangan dalam talian,” jelasnya.

Antara yang hadir di Majlis sambutan Hari Seniman.

Menurutnya, Jemaah Menteri secara dasar telah bersetuju untuk meminda akta tersebut dengan mengambil kira perubahan dalam industri perfileman.

Selain itu, Fahmi turut meminta FINAS meneliti pelbagai aspek, termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam industri perfileman serta menggalakkan kerjasama dengan institusi pendidikan bagi memastikan industri terus berkembang seiring dengan teknologi baharu.

Sebagai inisiatif memperkukuh hubungan antara industri dan akademia, tujuh institusi pengajian menerima surat niat bagi merintis kerjasama strategik dalam membangunkan ekosistem industri perfileman, televisyen dan kandungan kreatif yang mampan.

Institusi terbabit ialah Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Management and Science University (MSU), Universiti Multimedia (MMU), Politeknik Metro Tasek Gelugor dan Meatech Creative Academy.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button