JENAYAH & MAHKAMAH

Pemuda maut diserang buaya ketika ambil hasil pukat di Lahad Datu

LAHAD DATU – Belum reda insiden kanak-kanak dibaham buaya di daerah ini, seorang lagi penduduk menjadi korban apabila maut selepas diserang reptilia itu ketika mengambil hasil tangkapan daripada pukat yang dipasangnya di perairan Kampung Mundas, Tungku semalam.

Mangsa berusia 20 tahun ditemukan tidak bernyawa pada pukul 10 pagi dengan kesan gigitan pada beberapa bahagian badan dipercayai akibat serangan buaya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Jimmy Panyau berkata, siasatan awal mendapati mangsa keluar ke laut pada pukul 7 pagi untuk mengambil hasil laut daripada pukat yang dipasangnya sehari sebelum kejadian.

buaya
Keadaan mangsa yang maut akibat dibaham reptilia itu.

“Bagaimanapun, seekor buaya dipercayai muncul secara tiba-tiba lalu membaham mangsa pada bahagian perut dan dada sebelah kiri sebelum mangsa tenggelam,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, susulan kejadian itu, ahli keluarga bersama penduduk kampung telah menjalankan operasi pencarian sebelum menemui mangsa di lokasi kejadian.

“Mangsa ditemukan dalam keadaan terapung dan disahkan meninggal dunia di kawasan pantai kampung berkenaan.

“Dengan penemuan mayat tersebut, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut mengenai kejadian itu diminta menghubungi Sub-Inspektor Mohd Tahir Radin Hassan di talian 089-881255 atau hadir ke balai polis berhampiran.

Dalam pada itu, Jimmy menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada ketika menjalankan aktiviti di kawasan laut atau sungai bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Kelmarin, media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun maut selepas dibaham buaya ketika mandi di sungai di Kampung Tagupi, juga di daerah Lahad Datu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button